home Semasa Dunia Melayu elemen penting bagi survival Islam

Dunia Melayu elemen penting bagi survival Islam

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dunia Melayu adalah antara elemen penting dalam menentukan survival Islam bukan sahaja di rantau Asean tetapi di dunia.

Menganggap dunia Melayu sebagai aset yang sangat berharga, Ahmad Zahid berkata sejarah kesalinghubungan dunia Melayu dan Islam bermula sejak lama dahulu apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantaraan dalam penyebaran Islam di rantau ini.

“Pada pandangan Al-Attas, pemilihan bahasa Melayu oleh para mubaligh, merupakan perkara memang disengajakan. Hal ini kerana sifat dan sejarah bahasa Melayu yang hampir menyamai bahasa Arab…yang dipilih sebagai bahasa penyebaran Islam melalui al-Quran.

“Inilah yang unik bangsa Melayu mengekalkan jati dirinya melalui penggunaan bahasa Melayu dan tulisan jawi, bahasa Melayu dan tulisan jawi ini jugalah yang menjadikan Melayu itu Melayu dan bukan Arab,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan sebelum merasmikan Institut Antarabangsa Tamadun Islam Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM10 juta kepada ISTAC yang dijenama semula menggantikan Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam yang pengisiannya lebih berkisar mengenai negara Timur Tengah sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kajian menyeluruh mengenai hubungan dunia Melayu dan tamadun Islam yang mempunyai banyak persamaan akan dapat memberi manfaat kepada pembangunan tamadun Melayu lebih cemerlang di masa hadapan seperti tamadun Islam sebelum ini.

Beliau menarik perhatian bahawa agama merupakan perkara asas dalam pembentukan sesebuah tamadun, malah, dalam konteks tamadun Islam sejak zaman Mesir Purba sebagai contoh, agama Islam telah berjaya membawa peradaban terbaik apabila ajaran itu menekankan aspek kecemerlangan, kebajikan dan keamanan.

“Kehebatan ini yang harus didalami dan dikaji oleh kita,” katanya

Beliau turut berharap agar masyarakat Melayu dapat berpegang teguh pada ajaran Islam yang sebenar dan tidak tersasar jauh daripada landasannya dalam menghadapi kepelbagaian sejagat kini apabila budaya luar mudah mempengaruhi amalan masyarakat tempatan dengan cepat.

Ahmad Zahid berharap penjenamaan semula ISTAC ini akan menjadikan Malaysia tempat pengajian Islam dan tamadun yang terulung di dunia, selain yakin institut itu akhirnya akan dapat membentuk persepsi bahawa agama tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan dan kemajuan.

Turut hadir Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim yang juga Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia.

Rais dalam ucapannya berkata kajian terhadap hubungan dunia Melayu dan tamadun Islam akan dapat memperkayakan kefahaman mengenai pembangunan dinamik Islam dan masyarakatnya di seluruh dunia.

“Perkara ini wajar kerana terdapat lebih 200 juta umat Islam di Kepulauan Melayu buat masa ini dan ini mewakili 25 peratus jumlah keseluruhan populasi umat Islam di dunia,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *