home Semasa Jadikan al-Quran bahan dakwah untuk bukan Islam

Jadikan al-Quran bahan dakwah untuk bukan Islam

 

AL-QURAN, eksklusif untuk orang Islam? Tentulah tidak. Namun sejauh manakah al-Quran boleh disebarluaskan oleh orang Islam? Mahukah orang bukan Islam menerima al-Quran untuk dibaca dan difahami isi kandungannya?

ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran (al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, orang Muslim dan bukan Islam mempunyai pandangan tersendiri terhadap al-Quran.

Jika al-Quran tidak disebarkan, bagaimana mereka yang bukan Islam dapat mengenal ALLAH?

“Al-Quran terjemahan yang menggunakan bahasa awam dan bahasa ibunda memudahkan masyarakat berbilang bangsa untuk memahami mesej yang disampaikan.”

Beliau yang juga Panel Majlis Perundingan Islam Kebangsaan menegaskan kita perlu hidup sebati dengan al-Quran agar kehidupan seimbang di dunia dan diakhirat.

Ditanya pengalaman beliau dalam mendekati al-Quran, Taufiq yang berusia 15 tahun ketika itu mencari jawapan penciptaan manusia melalui bahan bacaan perbandingan agama dan merujuk kepada guru serta rakan.

 

 

Beliau mendapati penerangan penciptaan manusia yang sangat jelas dalam al-Quran. Pada November 1983, beliau mengambil keputusan untuk memilih Islam sebagai agamanya. Beliau bersyukur kerana keluarga tidak menghalang.

“Saya tertarik dengan Islam kerana tiga perkara. Pertama, Tuhan Maha Kasih Sayang. ALLAH menjadikan manusia lahir ke dunia bersih daripada dosa. Tanda kasih sayang ALLAH kepada manusia apabila mengampunkan Nabi Adam AS dan isterinya, Siti Hawa yang memakan buah terlarang.

“Kedua, ALLAH itu Maha Kuasa. Oleh itu ALLAH tidak membahagikan kuasa-Nya dengan makhluk lain untuk mentadbir alam ini. Ketiga, ALLAH itu Maha Esa. ALLAH tiada anak atau makhluk untuk bersama-Nya,” katanya.

Dalami ilmu

Taufiq berkata, Macma menggunakan al-Quran sebagai bahan dakwah. Kini Macma dengan kerjasama Yayasan Restu mencetak al-Quran terjemahan dalam bahasa Cina serta rekaan pengaruh Cina yang unik.

“Kita perlu ajak manusia kembali kepada sumber al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia, sebagai sumber asli dan tiada keraguan. Ia hanya satu-satu Kitab yang ada teks asli dan masih wujud.

“Sebenarnya ramai kalangan mereka yang memeluk agama Islam kerana tertarik dengan isi kandungan al-Quran,” kata Ahli Majlis Kebangsaan Perkim ini.

Oleh itu ALLAH menyebut ummatan wasata bermaksud umat yang terbaik, cemerlang, seimbang di antara kehidupan di dunia dan di akhirat.

Taufiq berpendapat golongan saudara baru di negara ini mendapat layanan baik kerana mendapat pelbagai bantuan termasuk pengajian agama. Namun beliau berharap kelas tersebut dapat diadakan dalam bahasa ibunda untuk memudahkan kefahaman peserta.

Terdapat kalangan mereka yang memeluk Islam ini menghadapi cabaran termasuk dipulaukan oleh keluarga dan masyarakat. Antara salah tanggapan terhadap saudara Islam apabila dikatakan masuk Melayu. Mereka juga dianggap golongan Muslim kelas kedua, atas alasan ‘awak tahu apa…’.

“Dalam ceramah agama, kita harap golongan saudara Muslim ini diberi pendedahan pelbagai aspek dalam al-Quran sebagai panduan kehidupan di dunia dan akhirat,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Islam Awfa Seremban 2 ini.

Konsep keesaan

Taufiq yang juga Ketua Laboratori Kelestarian Biotenaga dan Bahan Kimia, Pusat Sains dan Teknologi Katalisis (PutraCAT), Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut terlibat dalam bidang kajian dan penyelidikan.

Beliau selalu mengaitkan antara al-Quran dan sains, sebagaimana disebut Surah Al-Baqarah, ayat 22. Ini bermakna segala kebaikan, kelebihan, kemakmuran dan rezeki, ia mentauhidkan kita kepada ALLAH yang Maha Berkuasa.

Oleh itu, janganlah mempersekutukan ALLAH. Tuhan itu adalah Esa. Ia adalah perkara yang sangat penting dalam Islam iaitu konsep keesaan ALLAH.

Ini bermakna orang yang berakal sentiasa sebut nama ALLAH apabila keagungan ALLAH yang menjadi setiap sesuatu. ALLAH memberi akal kepada manusia untuk mengkaji dan berfikir bagi ketamadunan manusia.

Oleh itu, apabila kita melihat di sekeliling, timbul rasa menghargai dan bersyukur atas nikmat ALLAH.”

Taufiq berharap selepas program World #QuranHour 1438H, agar lebih ramai istiqamah dalam membaca, memahami dan mengkaji al-Quran. Al-Quran adalah khazanah yang perlu digali. Ambil peluang tersebut daripada sekarang.

Beliau berpendapat, lebih menarik jika diadakan pameran al-Quran dan terjemahan dalam pelbagai bahasa, sempena World #QuranHour untuk menarik minat golongan bukan Islam.

“Jika perlu, kita boleh sedekahkan al-Quran kepada mereka sebagai tanda perkongsian, prihatin dan kasih.

“Islam adalah agama rahmatan lil ‘alami kepada semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Itulah nama berbudi penyayang dan jangan hanya berbudi kepada orang Islam semata-mata, tetapi seluruh manusia tidak kira bangsa atau agama. Barulah Islam itu dipandang cantik dan kasih sayang,” akhirinya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *