home Semasa Pelihara institusi keluarga elak keruntuhan akhlak

Pelihara institusi keluarga elak keruntuhan akhlak

 

KUALA LUMPUR – Golo­ngan ulama berpandangan bahawa keruntuhan akhlak remaja masa kini berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan cuai dalam me­ngawasi pergerakan anak-anak mereka.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, ibu bapa tidak mengambil berat dan bersungguh-sungguh dalam menjaga anak, malah membiarkan anak-anak mereka pulang ke rumah pada lewat malam.

“Cara mengawasi yang paling berkesan bukan hanya belajar agama dan memahami tetapi mempraktikkannya dengan me­ngajak anak-anak solat berjemaah.

“Berjemaah pada waktu ma­ghrib dan isyak supaya anak-anak tidak keluar malam dan pada masa sama dapat mengatasi masalah lepak. Anak-anak perlu dididik untuk mencintai agama dan Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut pula, keluar­ga merupakan batu asas yang kukuh kepada sesebuah rumah tangga, masyarakat, ummah dan negara, justeru perlu dipelihara agar tidak rapuh dan memusnahkan semuanya.

Jelas beliau, tiga perkara utama yang perlu ditekankan bagi membentuk sahsiah dan periba­di remaja adalah akademik, kokurikulum atau kemahiran dan akhlak.

“Apabila ketiga-tiga kecemerlangan ini dihasilkan, maka akan lahirlah generasi madani dan hadari yang akan membantu dirinya, masyarakat serta bangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad kesal dengan sikap ibu bapa yang tidak kisah dengan pendidikan anak-anak di rumah dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Katanya, masalah disiplin juga berlaku disebabkan ibu bapa dan masyarakat tidak memberi sokongan padu kepada guru-guru sehingga menyebabkan murid menjadi semakin liar.

“Pihak sekolah perlu sentiasa berhubung dengan ibu bapa murid yang bermasalah supaya perkara itu dapat diata­si manakala pemerintah, pe­nguat kuasa dan masyarakat perlu memberi sokongan padu serta bersama-sama mengatasi masalah moral, jenayah dan penyelewengan fahaman agama,” tegasnya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *