home Semasa Ruang asrama pusat tahfiz terbakar ketika pelajar mengaji al-Quran

Ruang asrama pusat tahfiz terbakar ketika pelajar mengaji al-Quran

 

BANGI – Sebahagian daripada ruang asrama pusat tahfiz di Kampung Bukit Lanchung, Shah Alam musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun kebakaran yang berlaku tidak mengakibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa.

Memetik Berita Harian, insiden di Akademi Ihya Ul-Quran Tahfiz itu berlaku kira-kira jam 8 malam, dipercayai berpunca daripada kebakaran kecil pada tengah hari semalam, apabila sebiji bantal terbakar selepas terkena bara ubat nyamuk.

Warden asrama, Mohd Khairul Ni’mat Doll Kawaid berkata, beberapa pelajar memaklumkan kepadanya, kemudian mereka menjalankan pembersihan bagi memastikan kebakaran tidak merebak.

“Pelajar menyembur air pada bantal berkenaan sebelum membersihkan keseluruhan asrama. Bagaimanapun, mungkin bara pada bantal itu terkena bahagian lain tanpa disedari.

“Mungkin ia terbakar secara perlahan-lahan kerana antara tengah hari hingga jam 8 malam, tidak ada tanda asap atau kesan bakar,” katanya.

Sementara itu, pelajar Muhammad Farhan Muzabfar memberitahu, ketika kejadian, ada 13 pelajar di sekolah berkenaan sedang mengaji Al-Quran selepas solat Maghrib.

Bagaimanapun, seorang rakan yang keluar ke tandas terhidu bau pelik serta ternampak cahaya terang dari tingkat atas.

“Rakan itu segera memaklumkan kepada kami dan guru dalam kelas sebelum beberapa orang naik memeriksa dan mendapati dapati asrama sedang terbakar.

“Ustaz segera mengarahkan kami keluar menyelamatkan diri dan menghubungi pihak berkuasa,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *