home Semasa Titik berat akhlak, nilai mulia dalam hidup seharian: Khutbah

Titik berat akhlak, nilai mulia dalam hidup seharian: Khutbah

 

BANGI – Umat Islam diingatkan untuk berakhlak mulia bertunjangkan kepada akidah yang benar bagi mengelakkan dihumban ke dalam api neraka.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini berkata, akhlak Islam sangat penting dalam mencorakkan keperibadian individu dan masyarakat.

Ini kerana, ia membentuk tingkahlaku, perbuatan dan amalan seharian yang kita lakukan dan sebagai kesempurnaan ibadah yang dikerjakan.

Memberi contoh, khutbah berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat segelintir individu yang mengamalkan cara hidup beragama tetapi tidak menitik beratkan aspek akhlak dan nilai mulia pada peribadinya.

“Mereka beranggapan bahawa pemahaman mereka sahaja yang betul dan perlu diikuti. Bahkan, mereka mudah mengucapkan kata-kata yang buruk, lucah dan kasar.

“Mereka juga melontarkan berbagai bagai andaian buruk dan tuduhan kesesatan ke atas orang lain yang tidak bersependapat dan sealiran dengan mereka,” kata khutbah.

Dalam masa sama, khutbah turut mengingatkan masyarakat untuk memantau anak-anak agar tidak terjebak dengan gejala sosial.

“Terdapat gejala sosial seperti anak membunuh ibu, suami mendera isteri, ada juga beberapa kumpulan remaja yang sanggup membakar pusat pengajian tahfiz lantaran dipengaruhi najis dadah.

“Oleh itu, akhlak Islam sangat penting dalam mencorakkan keperibadian individu dan masyarakat,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *