home Semasa Umat Islam sudah lama berfikir liberalisme menyesatkan

Umat Islam sudah lama berfikir liberalisme menyesatkan

 

BANGI – Kenyataan pertubuhan liberal, Islamic Renaissance Front (IRF) yang mendakwa, kononnya pihak berkuasa meneruskan usaha menyekat cara umat Islam di negara ini berfikir dengan mengharamkan beberapa penerbitan, adalah tidak berasas.

Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, Muzakarah Fatwa Kebangsaan sendiri telah memutuskan pemikiran Islam liberal sebagai sesat dan menyeleweng sejak tahun 2006 lagi.

Bagaimanapun katanya, sepanjang hampir sedekad selepas pengharaman itu, terlalu banyak peluang diberikan untuk dialog, wacana dan penerbitan oleh pelbagai pihak, termasuk IRF, sekali gus membuktikan dakwaan pengarahnya, Dr Ahmad Farouk Musa sebagai tidak berasas.

“Bahkan ramai umat Islam yang telah berfikir, melihat dan menyedari bahawa tindak tanduk IRF selama ini adalah mengusulkan cabang-cabang Islam liberal iaitu memperjuangkan Malaysia yang sekular, menolak sebarang perundangan Islam dalam sistem kenegaraan, yang pada hemat mereka, syariah Islam tidak lebih daripada pengamalan peribadi,”katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Tidak setakat itu, Dr Rafidah berkata, IRF juga kerap menjadi penganjur kepada beberapa wacana yang terang-terang memberi pentas kepada pihak yang menolak al-Quran sebagai sumber perundangan seperti Dr Mun’im Sirry.

“IRF mendakwa bahawa mereka mengajak kepada umat Islam berfikir, tetapi ramai di antara kita yang telah berfikir, tertanya, kenapakah mereka sentiasa bekerjasama rapat dengan Penang Institute, suatu ‘think thank’ yang pernah diterajui oleh Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP?

“DAP turut memperjuangkan negara Malaysia yang sekular. Begitu juga IRF dijemput berdiskusi dengan bekas presiden Barack Obama bagi membincangkan kebebasan beragama di Malaysia mengikut takrifan negara Uncle Sam tersebut.

“Umat Islam di Malaysia juga telah berfikir, kenapakah IRF menerima dana asing seperti dari National Endowment Democracy?,” soalnya.

Malah, beliau turut mempersoalkan, adakah dakwaan IRF kononnya mengajak umat Islam berfikir itu sebenarnya cubaan mempromosi secara agresif ajaran yang bertentangan dengan Islam.

“Tindakan Jawi dan KDN adalah tepat dalam membendung ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada Islam, sama seperti kita pernah membendung ajaran al-Arqam dan Ayah Pin suatu ketika dahulu, demi kesejahteraan akidah keluarga muslim dan rakyat Malaysia secara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Dr Ahmad Farouk seperti dilapor sebuah portal liberal semalam, susulan pengharaman tiga buku terbitan NGO itu.

“Ia diharamkan kerana diterjemah ke bahasa Melayu. Mereka mahu mengawal minda orang Melayu di negara ini,” kata Dr Ahmad Farouk.

Tiga buku tersebut adalah ‘Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan’ oleh sarjana Turki Mustafa Akyol, dan dua buku yang memuatkan koleksi artikel suntingan Ahmad Farouk, ‘Wacana Pemikiran Reformis 1’ dan ‘Wacana Pemikiran Reformis 2’. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *