home Semasa Wanita Jepun temui hidayah dengan keindahan bahasa al-Quran

Wanita Jepun temui hidayah dengan keindahan bahasa al-Quran

 

NAOKO Tahara, 43, mengenali Islam ketika menuntut di Universiti Vancouver, British Columbia Kanada, 25 tahun lalu.

Ketika di kampung halamannya, wanita Jepun ini memang sudah terbiasa berkawan dengan masyarakat Muslim, kerana Okayama yang terletak berhampiran Osaka adalah negeri yang mempunyai penduduk Islam minoriti.

Ekoran itu, penuntut jurusan ekonomi dan penilaian hartanah ini sentiasa mencari peluang untuk mengetahui apa tersirat di sebalik Islam.

Naoko cuba ‘meneroka’ keindahan Islam selama puluhan tahun sehingga terbuka hati untuk memeluk Islam, pada tahun 2015.

Semuanya berlaku sekelip mata. Seorang rakan Muslim menghantar senaskhah terjemahan al-Quran dan bagaikan ‘dipukau’, Naoko menghayati salah satu surah terjemahan.

Mula tergamam dan terpaku dengan keindahan bait naskhah di baca walaupun cuma satu surah pada awalnya.

Dalam ratusan naskhah di baca, al-Quran begitu lengkap, sempurna dan indah bahasa dan maknanya untuk dihayati dan diamalkan, ujar wanita ini.

Dari situ, beliau tidak sabar untuk menjadi Muslim sejati dan mengembara di pelbagai negara Islam dengan melihat lebih dekat masjid, monumen dan amalan Islam di beberapa negara dikunjungi.

 

Menangis dan sebak

Pada saat menjadi Islam sebaik mengucap kalimah syahadah, dihayati sebaik mungkin sehingga diri tiba-tiba menjadi sebak.

“Tak tahu apa ungkapan terhadap perasaan itu. Saat mengucap kalimah, membuatkan saya syahdu dan menangis ” katanya ketika mengunjungi Berita Harian.

Naoko berkunjung ke negara ini sempena lawatan bersama wakil syarikat Jepun untuk mencari peluang perniagaan dan bergabung kepakaran industri halal dan pelancongan negara sempena MATTA Fair.

Pengislaman Naoko disaksikan rakan terdekat di sebuah masjid di kampungnya.

Angan-angan mula dipasang saat sah menganut agama Islam. Diberi peluang menjadi Islam membuat Naoka mahu melakukan kebaikan dan bakti kepada Muslim di seluruh dunia.

Antara bermain di fikiran Naoko, mahu membuktikan kepada masyarakat Islam itu indah dan banyak potensi untuk dikembang dari pelbagai sudut seperti jalinan ukhuwah mahupun perniagaan antara negara.

 

Keluarga merestui

Lebih meyakinkan, hasrat Naoko direstui keluarga terutama ayah dan ibunya.

“Malah, ibu bertanya kembali kepada saya, tidakkah saya sudah menjadi penganut Islam sebelum ini. Ini kerana saya lebih ramai berkawan dengan orang Muslim.

“Sejurus mengetahui saya sudah Islam, ibu mula memahami Islam seperti menghidangkan makanan halal kepada saya dan menghormati saya sebagai Islam.

“Ayah dan abang juga banyak membantu saya dalam kerja kebajikan Islam kerana menganggap tiada masalah saya menukar agama, lebih-lebih lagi saya beritahu hasrat untuk menyumbang kebajikan kepada masyarakat kampung saya,” katanya.

Walaupun begitu, bapa saudara beliau begitu menentang keputusan besar dilakukan Naoka dan memberikan reaksi negatif selepas Naoka bertukar agama.

Apatah lagi daripada 20 anak saudara, hanya Naoko yang memeluk Islam.

“Sebenarnya, saya begitu rapat dengan pakcik dan sebab itu beliau amat marah saya membuat keputusan ini. Berkali-kali beliau bertanya kenapa saya buat begini.

“Saya faham dia sayangkan saya, tetapi saya perlu meneruskan hasrat ini,” katanya.

 

Buka perniagaan berasaskan Islam

Menjadi Islam membuatkan lebih banyak perkara mahu diteroka.

Antara perancangan beliau ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam kepentingan halal dan pada masa sama menyediakan keperluan golongan itu untuk berkunjung ke seluruh dunia tanpa ragu.

“Misi saya mahu menyediakan makanan, penginapan dan apa saja untuk memudahkan orang Islam. Contohnya jika mahu pergi ke Jepun, mereka boleh mendapatkan makanan halal di restoran dan hotel dengan mudah.

“Saya mahu halal itu tidak menjadi jurang antara orang Islam dan bukan Islam. Mencari makanan dan barangan halal bukan suatu yang mudah terutama di negara yang bukan Islam. Bagaimanapun, orang bukan Islam turut menghormati keadaan itu,” katanya.

Berulang kali wanita ini menegaskan, beliau amat gembira diberi peluang melalui semua ini. Malah berharap misi utamanya untuk memperkenalkan kampung dan negaranya sebagai pusat pelancongan mesra Islam diberkati Allah.

Antara yang kemas dalam perancangannya adalah mempromosi makanan halal, fesyen Muslim dan Muslimah serta lokasi menarik di Jepun sebagai persediaan kepada pelancongan Islam ke Jepun.

 

Jepun negara mesra Islam

Satu ketika dulu rakyat Jepun tidak memahami Islam dan menentang aktiviti membabitkan Islam, tetapi kini semua itu sudah berlalu. Mereka sudah faham Islam itu bukan agama pengganas. Pengganas dan Islam dua perkara berbeza.

Naoko berkata, beliau masih ingat lagi ketika peristiwa 11 September yang mana Islam dibenci masyarakat dunia.

“Tetapi saya yang ketika itu bukan Islam, tidak rasa seperti itu. Kenapa mereka skeptikal terhadap Islam,” katanya.

Sebagai tindakan drastik, Naoko tidak mampu membendung rasa marah apabila Islam di diskriminasi sehingga menelefon pihak berkuasa berkali -kali.

“Saya marah pihak berkuasa yang tidak membenarkan Muslim bersembahyang dan mengunci masjid. Apa relevan tindakan seumpama itu ,” katanya.

Persepsi terhadap Islam pengganas ketika itu amat kuat dan kini persepsi itu semakin lenyap.

Jepun kini antara negara yang giat mempromosi pelancongan untuk Muslim ekoran Jepun bakal menjadi tuan rumah sukan Olimpik.

 

Wanita Jepun keluar bekerja

Banyak potensi membabitkan perniagaan berasaskan produk Islam dan wujudnya permintaan besar terhadap industri halal akan membuka peluang kepada banyak industri berpotensi untuk mengkaji kehendak dan keperluan orang Islam.

“Peluang baik ini akan menjadi nyata satu hari nanti. Di kampung saya, sudah membuka kilang roti untuk memudahkan pelancong mendapatkan makanan halal dengan mudah.

“Saya sebenarnya mahu membuka peluang kepada orang Islam minoriti di negara saya menjalankan perniagaan halal terutama suri rumah,” katanya.

Malahan , beliau mahu menghilangkan persepsi berkenaan wanita Muslimah. Tidak mahu mereka dilihat pelik oleh masyarakat dan mahu mereka berjalan dengan megah sebagai orang Islam.

“Wanita Muslimah Jepun sebelum ini tidak bertudung. Ini kerana di sekolah, anak mereka di diskriminasi rakan sebaya apabila mereka berhijab,” katanya.

Lantaran itu, diharap wanita Islam selepas ini sudah ada kekuatan untuk keluar bekerja dan paling utama mereka menghargai keindahan kehidupan.

“Saya faham semuanya mengambil masa. Keadaan ini akan berubah menjadi lebih baik. Yakin kepada Allah,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/node/138007

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *