home Semasa Gabungan falsafah Islam, kesenian Nusantara

Gabungan falsafah Islam, kesenian Nusantara

 

ISLAM merupakan agama universal dan manifestasi kepada perkara ini boleh dilakukan melalui fahaman yang baik dan fikiran terbuka. Hasil daripada garapan pengetahuan tentang agama Islam dan pegangan budaya tempatan yang kuat, rekaan Masjid Raya Sumatera Barat atau nama ringkasnya Masjid Sumbar akhirnya tersergam indah di Kota Padang, Indonesia.

Walaupun rekaan masjid ini pernah dikatakan tidak sesuai bagi sebuah masjid kerana tidak mempunyai kubah namun ia tidak sedikit pun menjadi penghalang kepada rekaan asal anak tempatan Indonesia bernama Rizal Muslimin ini disiapkan sepenuhnya.

Masjid yang dibina atas kawasan seluas 40.343 meter persegi ini mula dibina pada 2008 dan masih lagi dalam proses penambahbaikan terutama di kawasan landskap dan tempat letak kereta masjid.

Keunikan masjid ini boleh dilihat dari jarak jauh kerana rekaan bumbungnya berbentuk seperti sehelai kain yang direntang dan diangkat keempat-empat bucunya.

Ia dikatakan lambang simbolik kepada kain yang digunakan Rasulullah SAW sewaktu menyelesaikan pertelingkahan masyarakat Mekah untuk meletakkan batu Hajar Aswad ke dalam Kaabah selepas banjir yang merosakkan Kaabah.

Dalam masa yang sama rekaan bumbung ini turut mengangkat rekaan seni bina tradisional Sumatera Barat iaitu bumbung Rumah Gadang Minangkabau yang runcing di hujungnya dari sudut pandangan sisi.

Bahagian tepi bumbung masjid ini dihiasi dengan motif songket Minangkabau yang sangat indah serta motif kaligrafi Islam berwarna keemasan dan berlatarkan warna coklat gelap.

Songket merupakan satu warisan kerja tangan yang menjadi kebangsaan masyarakat Sumatera Barat sehingga hari ini.

Keindahan Masjid Raya Sumatera Barat ini ditambah lagi dengan rekaan hiasan dalaman yang moden tetapi penuh simbolik terutama di bahagian mihrab yang sangat lain daripada masjid-masjid yang ada di Nusantara hari ini.

Rekaan di bahagian ini mengambil inspirasi daripada rekaan tempat letaknya batu Hajar Aswad di Kaabah.

TAHAN GEGARAN KECIL

Bangunan yang mempunyai tiga tingkat ini boleh memuatkan hampir 20,000 orang jemaah pada satu masa dan di tingkat bawahnya sahaja boleh memuatkan 15,000 orang jemaah. Ciri binaan masjid ini dikatakan mampu bertahan jika kawasan sekitarnya dilanda gempa bumi sederhana dan ia juga dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul jika berlaku bencana alam di kawasan tersebut.

Bahagian dinding masjid dibuat dalam bentuk ukiran tebuk menggunakan motif bintang geometri Islam dan ia membolehkan aliran udara keluar masuk ke seluruh bangunan masjid. Perincian dinding, tiang dan bumbung dalam bahagian masjid merupakan gabungan daripada gaya tradisional Islam, gaya tradisional tempatan dan juga gaya moden.

Ketiga-tiga komponen ini menjadikan rekaan seni bina Masjid Raya Sumatera Barat tampil mewah dan boleh disebut sebagai sebuah karya agung seni bina Islam di Indonesia khususnya.

Rekaan bumbungnya seperti sehelai kain yang direntang 
dan diangkat keempat-empat bucunya.

Simbolik kepada kain digunakan Rasulullah SAW sewaktu menyelesaikan pertelingkahan masyarakat Mekah untuk meletakkan batu Hajar Aswad selepas banjir.

Serap rekaan seni bina tradisional Sumatera Barat, bumbung Rumah Gadang Minangkabau yang runcing di hujungnya.

INFO MASJID SUMBAR

  • Memiliki mihrab unik berbeza dengan masjid lain di Nusantara, inspirasi tempat letak batu Hajar Aswad.
  • Mampu memuatkan 20,000 jemaah pada satu masa.
  • Mampu menahan gegaran kecil gempa bumi, juga sebagai tempat berkumpul masyarakat setempat jika berlaku bencana alam. – Utusan

www.indahnyaislam.my

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *