home Semasa Abu Dis cara halus AS rampas Baitulmaqdis: Mufti Perak

Abu Dis cara halus AS rampas Baitulmaqdis: Mufti Perak

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang membuat tawaran menjadikan kawasan pinggir bandar, Abu Dis di Baitulmuqaddis sebagai ibu negara alternatif Palestin merupakan sebahagian agenda jahatnya untuk menghalau penduduk negara itu secara halus.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, tindakan Trump itu disifatkan sebagai terdesak apabila hasratnya sebelum ini mengiktiraf wilayah suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia umumnya.

Katanya, seandainya Palestin menerima tawaran berkenaan, umat Islam di seluruh dunia mungkin tidak lagi akan mempunyai hak ke atas Masjid Al-Aqsa dan kota suci ketiga itu.

“Umat Islam di seluruh dunia perlu tegas dan bersatu hati untuk tidak akan menerima sebarang tawaran daripada Israel dan sekutunya kerana ia hanyalah cara-cara halus untuk mengusir umat Islam Palestin.

“Masjid Al-Aqsa adalah hak milik umat Islam dan cadangan AS kononnya mahu membina sebuah jambatan dari Abu Dis ke Masjid Al-Aqsa bagi memudahkan umat Islam untuk beribadah adalah tidak relevan sama sekali,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Pergerakan Hamas, Ismail Haniya sebelum ini menegaskan bahawa semua pihak terma­suk rakyat Palestin diberi amaran supaya tidak menerima atau menyokong tawaran berkenaan.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Moha­mad berkata, tawaran AS itu dilakukan bagi menjaga kepenti­ngan bersama Israel iaitu memecah belahkan umat Islam.

Katanya, perpecahan umat Islam akan memberi keuntungan kepada AS dan Israel yang menjadi pembekal senjata utama dalam pergolakan yang berlaku antara negara-negara di Asia Barat.

“Umat Islam perlu berwaspada dengan muslihat AS yang cuba untuk memerangkap Palestin dengan menawarkan Abu Dis sebagai ibu negara mereka yang baru,” katanya.

Dalam nada yang sama, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, Israel sepatutnya tidak layak untuk memiliki ibu kota kerana mereka tidak mempunyai status sebagai sebuah negara yang sah.

Katanya, tawaran AS untuk menjadikan Abu Dis sebagai ibu negara alternatif buat Palestin jelas tidak menghormati keputusan PBB yang menolak keputusan Trump itu.

“AS sentiasa mempunyai muslihat untuk menghalang kedamai­an di antara negara-negara Islam khususnya di Asia Barat terjalin,” jelasnya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *