home Semasa Negara Islam perlu ikuti Turki buka kedutaan di Baitulmaqdis

Negara Islam perlu ikuti Turki buka kedutaan di Baitulmaqdis

 

BANGI: Negara yang menyokong perjuangan Palestin sepatutnya mengikut jejak langkah Turki membuka kedutaan di Baitulmaqdis Timur.

Ini sebagai sokongan dan pengiktirafan dunia bahawa Baitulmaqdis Timur adalah ibu kota Palestin.

Ulama Palestin, Sheikh Dr Murweh Mousa Naser Nassar, berkata isu pembahagian Baitulmaqdis Timur atau Barat tidak seharusnya timbul kerana wilayah itu adalah milik Palestin.

Murweh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Baitulmaqdis Kesatuan Ulama Sedunia, berkata negara Islam perlu memutuskan terus hubungan diplomatik dengan rejim zionis Israel.

“Negara lain juga perlu ikut langkah Turki, Baitulmaqdis adalah milik Palestin dan tidak timbul soal pembahagian Baitulmaqdis Timur dan Barat,” katanya kepada pemberita selepas Hi Tea Amal “Kempen 1 Juta Untuk Aqsa” Aman Palestin di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut.

Murweh ditanya mengenai keputusan sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, Rabu lalu yang mengisytiharkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Turki juga mengumumkan membuka kedutaannya di Baitulmaqdis Timur sebagai membuktikan pengiktirafan ke atas Palestin.

Ia sebagai reaksi balas tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf wilayah konflik itu sebagai ibu kota rejim haram Israel.

Murweh turut menggesa umat Islam menunjukkan kesungguhan membantu Palestin sepertimana dilakukan pertubuhan Israel untuk ‘mengyahudikan’ Baitulmaqdis.

“Sebanyak 34 pertubuhan bukan Islam (NGO) Israel menyumbang kira-kira AS$2 bilion untuk menjayakan rancangan mereka,” katanya sambil menegaskan umat Islam seharusnya menunjukkan kesungguhan sama.

Sementara itu, Awang Suffian berkata Aman Palestin mensasarkan kutipan dana RM1 juta sepanjang dua minggu kempen jelajah itu, bermula Jumaat lalu.

Dana dikumpulkan melalui kempen jelajah yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai Palestin itu akan diguna untuk membantu sukarelawan ‘murabitun’ yang menjaga Masjid Al-Aqsa, bantuan bayaran cukai warga Palestin sekitar Baitulmaqdis dan baik pulih struktur Masjid Al-Aqsa. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *