home Semasa Pluralisme fahaman menghakis akidah, tiada kaitan kepelbagaian budaya

Pluralisme fahaman menghakis akidah, tiada kaitan kepelbagaian budaya

 

PUTRAJAYA: Fahaman pluralisme adalah agenda yang menghakis akidah umat Islam dan ia sama sekali tidak boleh diterjemahkan sebagai penerimaan kepada kepelbagaian budaya yang ada di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof Datuk Mahamad Naser Disa, berkata kepelbagaian budaya sudah pun sebati dalam masyarakat Malaysia sejak merdeka, yang membolehkan semua bangsa hidup harmoni walaupun mengamalkan kepercayaan berbeza.

Justeru, katanya, badan itu kecewa apabila ada pihak menuduh IKSIM menolak kepelbagaian budaya yang didakwa berdasarkan risalah yang dikeluarkan badan itu, selain seolah-olah IKSIM menyokong gerakan radikal Islam.

“IKSIM difitnah dengan mengatakan IKSIM anti kepada kepelbagaian budaya sedangkan apa yang dikeluarkan dalam risalah kita adalah mengenai bahaya fahaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme (yang menghakis akidah umat Islam).

“Pluralisme mengiktiraf kesamarataan semua agama, semua agama adalah betul dan menuju Tuhan yang satu, dan ini bercanggah dengan akidah Islam. IKSIM tidak terlalu dangkal (untuk menolak kepelbagaian budaya),” katanya kepada media selepas menghadiri Syarahan Umum Daulatkan Islam Agama Negara (DIAN) di sini, hari ini.

Syarahan disampaikan pengasas Madina Institute Amerika Syarikat, Shaykh Muhammad Yahaya Al-Ninowy dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Mahamad Naser merujuk artikel oleh seorang profesor universiti tempatan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Khamis lalu.

Artikel berkenaan mendakwa IKSIM dalam risalahnya menyatakan sekularisme, liberalisme dan kepelbagaian budaya adalah elemen yang melemahkan agenda Islam dan meruntuhkan kedaulatan negara.

Mahamed Naser berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis pada Khamis lalu terhadap ahli akademik dan akhbar berkenaan, serta sebuah akhbar berbahasa Cina yang menterjemah artikel itu.

“Kita percaya tujuan (artikel) adalah untuk mencetuskan kebencian kepada IKSIM sebagai satu institusi yang memperjuangkan kedaulatan Islam berdasarkan Perlembagaan, bukan untuk menindas orang lain,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *