home Uncategorized Rasulullah SAW dan menyantuni tetamu

Rasulullah SAW dan menyantuni tetamu

 

1. Abu Nuaym meriwayatkan bahawa Jarir bin Abdillah pernah datang ke rumah Rasulullah. Namun ketika itu rumah Baginda telah dipenuhi dengan tetamu yang hadir. Melihatkan kedatangan Jarir, Rasulullah menoleh kiri dan kanan memerhatikan sekiranya masih ada ruang buat Jarir untuk duduk.

Disebabkan tiada tempat buatnya, Rasulullah telah menanggalkan pakaian luar Baginda (rida’) lalu mencampakkannya kepada Jariri dan berkata: Duduklah di atas bajuku itu! Jarir lalu mengambil pakaian Rasulullah. Dikucupnya dan dipulangkannya kepada Baginda. Sebahagian riwayat menambah dengan kata-kata beliau: Bagaimana boleh aku duduk di atas pakaian Nabi? Lihatlah betapa mulianya akhlak Rasulullah dalam menyantuni tetamu. (Abu Nuaym, Hilyat al-Awliya, 1974)

2. Menurut al-Hakim pula, Salman al-Farisi telah hadir ke rumah Rasulullah. Ketika itu Baginda sedang bersandar baring (متكئ) atas bantalnya. Melihatkan kehadiran Salman, Baginda memberikan bantal tempat dia bersandar itu lalu berkata: Wahai Salman, seorang Muslim yang menyerahkan lapik (bantal) pada tetamu yang hadir bagi memuliakan mereka, maka Allah akan mengampunkan dosa mereka. (al-Hakim, al-Mustadrak, 1990)

يَا سَلْمَانُ، مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْخُلُ عَلَى أَخِيهِ الْمُسْلِمِ فَيُلْقِي لَهُ وِسَادَةً إِكْرَامًا لَهُ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ

3. Al-Bukhari pula meriwayatkan tentang kehadiran seorang tetamu ke rumah Baginda Nabi. Baginda bertanyakan kepada isteri-isterinya sekiranya ada sesuatu yang dihidangkan kepada tetamu tersebut. Malangnya mereka tidak memiliki apa-apa untuk dihidangkan. Baginda lalu meminta sahabat untuk menyantuni tetamu tersebut. Lihatlah akhlak Nabi dalam menyantuni tetamu, sekiranya tiada apa di rumah Rasulullah, Baginda sendiri akan berusaha untuk memastikan tetamu yang datang dilayan sebaiknya.

4. Bahkan pernah suatu ketika, Saidina Umar datang ke rumah Baginda. Keadaan Baginda sangat zuhud, tikar tempat Rasulullah berbaring adalah tikar kasar sehingga memberi kesan kepada bahagian sisi tubuh Rasulullah. Melihatkan kesan tikar pada tubuh Nabi itu Umar menangis. Rasulullah bertanya, apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Umar? Umar lalu menjawab: Tidakkah engkau lihat Kisra dan Kaisar (pemerintah empayar Rom dan Parsi dengan kemewahan mereka). Rasulullah dengan tenang memujuk Umar: Apakah engkau tidak redha, buat mereka hanyalah dunia sedangkan kita memiliki akhirat?

فَرَأَيْتُ أَثَرَ الحَصِيرِ فِي جَنْبِهِ فَبَكَيْتُ، فَقَالَ: «مَا يُبْكِيكَ؟» فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ كِسْرَى وَقَيْصَرَ فِيمَا هُمَا فِيهِ، وَأَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ، فَقَالَ: «أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَهُمُ الدُّنْيَا وَلَنَا الآخِرَةُ

Rasulullah bukan sahaja menghidangkan tetamu dengan keperluan dunia, bahkan mengambil peluang berkongsi dengan tetamu kepentingan urusan dunia dan akhirat.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM

www.indahnyaislam.my

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *