home Semasa Tanam rasa cinta, pertahan Baitulmaqdis: Khutbah Jakim

Tanam rasa cinta, pertahan Baitulmaqdis: Khutbah Jakim

 

BANGI – Khutbah Jumaat hari ini menyeru umat Islam agar menanam prinsip kecintaan dan komitmen dalam diri untuk mempertahankan Baitulmaqdis.

Berdasarkan teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tindakan menceroboh tanah Baitulmaqdis merupakan suatu bentuk rampasan serta jajahan yang mencabul hak kemanusiaan demi melebarkan lagi kekuasaannya.

Menurut teks khutbah itu, kerosakan yang pertama dilakukan oleh bangsa ini ialah mereka melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup pula membunuh para Rasul dan Nabi yang di utuskan oleh Allah SWT.

Hakikatnya, tindakan ini tidak lain adalah untuk menyampaikan hasrat bangsa Yahudi Israel dalam merampas kembali Baitulmaqdis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita umat Islam seluruhnya.

“Baitulmaqdis adalah salah satu daripada tiga tempat yang paling suci buat umat Islam yang dikenali dengan gelaran al-Quds As-Sharif.

“Perlu diketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya iaitu menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah SWT yang ada perkaitannya dengan Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Isa a.s.

“Malah, berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitulmaqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW,” kata khutbah itu.

Oleh itu, Baitulmaqdis menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap muslim.

Katanya, sebagai tanda protes kita terhadap perkara ini, semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia perlu bertanggungjawab dan bersatu suara dan tegas untuk memastikan bumi Baitulmaqdis terus terpelihara maruahnya untuk mengelakkan terjadinya ancaman keselamatan yang lebih buruk diseluruh dunia.

Justeru, khutbah berpendapat bagi memastikan hasrat ini tercapai, marilah kita bersama-sama bertindak dengan akal yang waras dan berpandu kepada ajaran Islam yang suka kepada kedamaian dan kesatuan.

“Umat Islam juga perlu tegas dan berpegang dengan satu gagasan yang mempunyai dasar yang jelas, strategi yang tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah yang lebih baik berpaksikan prinsip Maqasid Syariah,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *