home Semasa Keputusan Parlimen Israel langkah sistematik rampas Baitulmaqdis: Hamas

Keputusan Parlimen Israel langkah sistematik rampas Baitulmaqdis: Hamas

 

GAZA – Keputusan Parlimen Israel memasukkan Baitulmaqdis ke dalam wilayah diduduki rejim Zionis itu adalah tindakan sistematik berterusan yang menyasarkan tanah suci berkenaan, kata Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), hari ini.

Tindakan itu juga menyasarkan penduduk Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis dan untuk memutarbelitkan sejarah Baitulmaqdis dalam usaha rejim mengisytiharkan negara rasis Yahudi.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dalam satu kenyataan berkata, tindakan Parlimen Israel itu bukan sahaja memberi ancaman kepada penduduk Palestin, tetapi juga di rantau ini.

Katanya, memandangkan dunia berdiam diri terhadap prosedur rejim Israel ke atas Baitulmaqdis, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mesti menamatkan penyelarasan keselamatan dengan rejim Zionis dan membatalkan Perjanjian Oslo.

“Sebagai tambahan, beliau sepatutnya menyatukan semua kuasa Palestin untuk bekerja di bawah program komprehensif kebangsaan dengan menggunakan penentangan sebagai pilihan utama bagi mempertahankan hak rakyat Palestin dan berdepan dengan askar rejim,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, Hamas menyeru supaya penentangan diaktifkan dan menyokong keadilan kepada Palestin di semua peringkat sama ada tempatan atau wilayah dalam berdepan dasar perkauman dan pelampau yang diterima pakai oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS).

Semalam, Parlimen Israel, meluluskan undang-undang menghalang kerajaan rejim itu daripada sewenang-wenangnya menyerahkan mana-mana bahagian Baitulmaqdis kepada Palestin di bawah apa-apa perjanjian damai pada masa depan.

Rang undang-undang bertajuk ‘Baitulmaqdis, ibu negara Israel’ meminda Undang-Undang Asas Baitulmaqdis 1980, diluluskan dengan 64 undi menyokong dan 51 lagi menentang.

Sekali gus, undang-undang itu kini dilihat menjadi penghalang kepada usaha negara-negara Arab dan umat Islam untuk mengambil Baitulmaqdis Timur bagi dijadikan ibu negara Palestin.

Undang-undang itu menetapkan mana-mana kawasan yang dianggap oleh rejim Tel Aviv sebagai sebahagian daripada Baitulmaqdis perlu mendapat undi majoriti dua pertiga di Knesset atau 80 daripada 120 anggota Parlimen, jika mahu diserahkan kepada mana-mana kuasa asing. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *