home Semasa PLO gantung iktiraf Israel, batal Perjanjian Oslo

PLO gantung iktiraf Israel, batal Perjanjian Oslo

 

RAMALLAH – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) memutuskan untuk menggantung pengiktirafan badan itu ke atas Israel sehingga kerajaan rejim mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur dijadikan sebagai ibu negaranya.

Al-Jazeera melaporkan, dalam pertemuan di bandar Ramallah di Tebing Barat, semalam, PLO yang merupakan payung kepada parti-parti politik Palestin turut menegaskan, Perjanjian Oslo yang ditandatangani dengan Israel pada awal tahun 1990-an juga tidak lagi terpakai.

Dalam kenyataan akhir yang dibacakan selepas mesyuarat itu, Majlis Pusat PLO, badan pembuat keputusan Palestin kedua ter­tinggi berkata, mereka akan memperbaharui semula keputusan untuk menghentikan penyelarasan keselamatan dengan Israel dalam semua bentuk.

Majlis Pusat PLO itu juga menggesa semua negara Arab memutuskan hubungan dengan mana-mana negara yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel selain memindahkan kedutaan mereka ke bandar berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan ekoran keputusan dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel selain memindahkan kedutaan mereka ke bandar tersebut.

 

 

Berbeza dengan dasar berdekad-dekad AS yang memihak penyelesaian dua negara, pengiktirafan Trump memberi tamparan kepada kepimpinan Palestin selepas lebih dua dekad gagal mewujudkan sebuah negara di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmuqaddis Timur.

Mesyuarat itu juga diadakan bagi menggariskan strategi untuk mendepani Amerika ekoran keputusan mereka ke atas Baitulmuqaddis.

Berdasarkan agensi berita rasmi Palestin, Wafa, PLO menolak perjanjian dicadangkan AS bagi penyelesaian damai dalam konflik Palestin-Israel dan mengesahkan pertubuhan itu akan mencari platform antarabangsa lain di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menaja penyelesaian masalah Palestin.

Selepas secara rasmi mengiktiraf Israel pada tahun 1988, PLO dan Israel menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993 dan 1995 yang bertujuan membawa ke arah penubuhan sebuah negara Palestin merdeka melalui penubuhan kerajaan Palestin sementara atau Pihak Berkuasa Pa­lestin (PA).

Perjanjian Oslo juga memberikan Israel penguasaan penuh terhadap ekonomi Palestin, hal awam dan keselamatan daripada 60 peratus kawasan Tebing Barat dan memperkenalkan penyela­rasan keselamatan kontroversi antara Israel dan PA.

PA mendakwa penyelesaian kepada konflik lebih 70 tahun itu adalah penubuhan negara Palestin dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Bagaimanapun sejak menandatangani Perjanjian Oslo, penjajahan Israel ke atas kawasan Palestin semakin meningkat sekali gus menyukarkan usaha damai.

Ketika ini, dianggar lebih 600,000 penduduk Israel atau 11 peratus daripada jumlah penduduk Israel tinggal di wilayah Palestin yang dijajah, faktor yang disumbang pemberian insentif kepada pendatang Yahudi oleh kerajaan Israel berhaluan kanan. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *