home Semasa Solat Sunat Gerhana Bulan 31 Januari ini

Solat Sunat Gerhana Bulan 31 Januari ini

 

KUALA TERENGGANU – Umat Islam di negara ini digalakkan untuk melakukan solat sunat gerhana, bersempena fenomena gerhana bulan yang dijangka berlaku pada 31 Januari ini.

Pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, pada tarikh itu, bulan terbit di ufuk timur Kuala Terengganu pada jam 7.09 petang, kira-kira 10 minit sebelum waktu matahari terbenam.

Menurutnya, di Malaysia, solat sunat boleh dilakukan sebaik tompokan hitam mula kelihatan kira-kira jam 7.49 malam dan berlarutan sehingga gerhana berakhir, kira-kira jam 11.12 malam.

“Solat sunat gerhana ini adalah sunat muakad yang amat dituntut. Jadi diharapkan umat Islam bersama-sama memanfaatkan peluang yang ada ini untuk melihat fenomena ini, sekali gus dapat melihat dengan jelas tanda-tanda kekuasaan ALLAH S.W.T dan memanfaatkannya dari segi rohani dan kajian saintifik.

“Penyebaran maklumat ini kita harap boleh digunakan untuk menyelaras aktiviti di masjid-masjid ketika waktu puncak antara Maghrib dan Isyak pada 31 Januari nanti, dengan menyemarakkan dengan aktiviti-aktiviti kerohanian, tazkirah dan bacaan solat sunat gerhana,” katanya kepada Sinar Harian.

 

 

Mengulas mengenai fenomena gerhana bulan itu, beliau berkata, zon bayang pusat bumi (umbra) ketika ini mengunjur sejauh 1.4 juta km pada arah yang sama dengan orbit bulan, sedangkan jarak bumi ke bulan ketika ini sejauh 360, 000 km.

Bulan yang beredar dengan halaju relatif 3,400 km perjam akan mula memasuki zon bayang pusat bumi (umbra) kira-kira jam 7.49 malam dengan bayang bumi kelihatan mula menyentuh sisi sebelah bawah permukaan bulan.

“Secara perlahan-lahan tetapi boleh kelihatan dengan jelas, bulan purnama ini bertukar menjadi ‘sabit’ sehinggalah mencapai kegelapan penuh kira-kira sejam selepas itu menandakan permulaan fasa gerhana bulan penuh.

“Fasa gerhana bulan penuh ini akan berlangsung selama kira-kira 1 jam 16 minit, sehinggalah jam 10.08 malam apabila bulan mula keluar dari kawasan zon bayangan umbra. Ketika ini, bulan kelihatan bercahaya semula sedikit demi sedikit sehingga keseluruhan jasad bulan cerah semula kira-kira jam 11.12 malam,” katanya.

Di Kuala Terengganu, selain program cerapan yang diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kampung Laut dan cerapan oleh pihak Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, beberapa buah masjid juga akan mengadakan aktiviti yang sama untuk memudahkan aktiviti pencerapan dan solat.

Jabatan Mufti Terengganu turut menyediakan kemudahan peralatan cerapan astronominya dan akan membuat aktiviti di Masjid Durian Burung, Kuala Terengganu manakala Kelab Astronomi Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bersama pelajar elektif falak Pusat Pengajian Syariah dengan kerjasama Pusat Islam Unisza akan mengadakan aktiviti di perkarangan masjid Unisza.

Program pada petang berkenaan akan dimulai dengan solat maghrib berjemaah, diikuti dengan aktiviti pencerapan dan solat sunat gerhana. Program akan berlangsung sehingga tamat waktu berlakunya gerhana kira-kira jam 11.12 malam. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *