home Semasa Institusi agama, zakat segera bertindak sebelum perayu teruskan hasrat keluar Islam: Mufti Wilayah

Institusi agama, zakat segera bertindak sebelum perayu teruskan hasrat keluar Islam: Mufti Wilayah

 

BANGI – Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, yang memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengendali kes murtad.

Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, keputusan itu sekaligus dapat memperbaiki persepsi dan mengiktiraf kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia, apabila sebelum ini terdapat segelintir pihak menganggap ianya lebih rendah daripada Mahkamah Sivil.

Sedangkan katanya, Perlembagaan Persekutuan telah menjamin bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah yang dilaksanakan mengikut negeri.

“Dengan keputusan ini, saya berharap sebelum pihak-pihak perayu meneruskan hasrat mereka untuk keluar Islam, pihak berkuasa agama Islam dan pihak-pihak terbabit seperti institusi zakat segera mengambil langkah proaktif.

“Antaranya memahami dan menyelesai masalah sebenar yang dihadapi oleh para perayu sama ada berbentuk pendidikan, psikologi, dan kebajikan.

“Ini kerana kami yakin sekiranya agama Islam dipersembahkan dengan tepat dan bijaksana, tiada seorang pun yang akan sewenang-wenangnya meninggalkan agama ini,” katanya menulis di kalam mufti, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan empat individu yang mahu menukar agama daripada Islam kepada Kristian, dan memutuskan kes mereka hendaklah dibawa ke Mahkamah Syariah.

Panel lima hakim memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes murtad, sebaliknya hanya Mahkamah Syariah sahaja yang boleh berbuat demikian.

Meskipun begitu Dr Zulkifli berkata, keputusan ini bukanlah satu ‘kemenangan’ tetapi satu ruang masa yang diberikan-Nya untuk kita lebih menekuni tadbir urus Islam.

Lebih dari itu katanya, kita perlu memperkasa usaha dakwah dan penerangan kepada masyarakat Muslim dan juga bukan Muslim.

“Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh alim ulama dan para pendakwah untuk memastikan imej Islam sebagai agama rahmah dan mawaddah berjaya direalisasikan pada pandangan orang bukan Islam,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *