home Semasa Mufti Perak sebak titipkan pesanan buat Sultan Nazrin

Mufti Perak sebak titipkan pesanan buat Sultan Nazrin

 

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dilihat sebak ketika menitipkan pesanan buat Sultan Perak sempena program Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Casuarina@Meru.

Ketika menyampaikan titipan pesan Imam Abu Yusuf kepada Khalifah Harun al-Rasyid itu, Dr Harussani menghentikan ucapannya buat beberapa ketika.

Dengan nada sebak, beliau meneruskan ucapan yang antara lain menyatakan tugas besar yang dipertanggungjawabkan Allah kepada Sultan Nazrin mengenai urusan umat.

“Dikala usia patik sudah tinggal sisa-sisanya, patik mungkin tidak akan mampu menjadi seperti Imam Abu Yusuf, namun pada usia pemerintahan tuanku yang masih awal, patik doakan tuanku dapat menjadi seperti Harun Al-Rasyid,” katanya.

Yang dimaksudkan beliau dengan kata itu, adalah hak yang diamanahkan perlu ditunaikan tanpa rasa cuai dan tidak bertindak berasaskan hawa nafsu dengan perasaan marah.

“Apabila tuanku berhadapan dengan dua pilihan, yang satunya memberi keuntungan akhirat dan satu lagi memberi keuntungan dunia, maka tuanku pilihlah keuntungan akhirat.

“Dalam melaksanakan perintah Allah, janganlah tuanku takut apa sahaja, bersikap adillah terhadap semua orang, yang dekat dan jauh,” katanya.

 

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan program berkenaan, semalam.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Program anjuran Kerajaan Negeri dan Jabatan Mufti Negeri Perak itu berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini.

Muzakarah tahun ini mengangkat tema ‘Kepimpinan dan kekhalifahan, gagasan konstruktif ulama dan umara’ membariskan pembentang antaranya Mufti Kerajaan Brunei, Datuk Seri Dr Awang Abdul Aziz Juned; Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Dakwah Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Teo Kok Seong.

Program melibatkan penyertaan golongan profesional pelbagai bidang termasuk agamawan ini merupakan kesinambungan muzakarah ulama dan cendekiawan Islam yang dianjurkan sejak 1995. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *