home Semasa Temui hidayah di tengah lautan

Temui hidayah di tengah lautan

 

PONTIAN – Ribut luar biasa di tengah laut yang bertukar tenang selepas laungan azan mengejutkan seorang tekong bot yang bukan Islam mengenai kebesaran Allah, sebelum dia nekad memeluk agama Islam.

Mengimbau kembali peristiwa lapan tahun lalu, Beng Seng atau nama muslimnya Muhammad Firdaus Goh, 51, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama lapan orang nelayan sedang dalam perjalanan ke Pulau Ketam, Selangor untuk membaiki bot pukat tunda.

Katanya, kesemua nelayan tempatan itu beragama Islam dan hanya dia seorang sahaja berbangsa Cina.

“Cuaca secara tiba-tiba berubah, awan bertukar hitam disertai guruh dan kilat mengejutkan kami yang ketika itu sedang berada di tengah laut.

“Saya tengok keadaan laut memang berbeza, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Senang cerita, saya tidak pernah alami keadaan sebegitu walaupun sudah menjadi nelayan sejak dari kecil lagi,”katanya.

Jelasnya, ribut yang kemudiannya melanda bertukar ganas menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Ada nelayan tempatan yang melaungkan azan ketika ribut berlaku. Saya perhatikan mereka dan lihat mereka bersungguh-sungguh melaungkan azan.

“Tidak lama selepas azan dilaungkan, ribut reda. Saya cukup terkejut melihat keadaan laut kembali tenang,”katanya.

Sekembalinya ke rumah di Kampung Pontian Besar, dia terus menceritakan pengalaman itu kepada isterinya.

“Saya katakan kepada isteri, mungkin inilah petanda dari Allah SWT, untuk kami sekeluarga memeluk Islam.

“Tragedi ribut luar biasa itu, bukan menakutkan, tetapi bagi saya itu ada hidayah.

“Syukur isteri menyokong tindakan saya dan dia juga bersetuju untuk memeluk agama Islam bersama empat orang anak kami,”katanya.

Firdaus berkata, jiwanya kini cukup tenang malah dia lebih gembira melalui kehidupan bersama isteri, Nur Aisyah Yasmin Quek, 44 dan empat orang anaknya Mohd Hamzie Goh, 23, Umairah Goh, 23, Maisarah Goh, 18 dan Nur Puteri Fateha Goh, 12.

“Kami sekeluarga melafazkan kalimah syahadah dalam satu majlis anjuran Majlis Agama Islam Johor, di Kampung Pontian Besar, lapan tahun lalu.

“Ahli keluarga dan saudara mara menerima kami dengan baik selepas memeluk agama Islam. Malah hubungan kami bersama keluarga bukan Islam, lebih erat,” katanya.

Anjur rumah terbuka

Tradisi rumah terbuka Tahun Baharu Cina menjadi keunikan buat keluarga Firdaus Goh, apabila tetamu yang hadir dari kalangan keluarga, saudara mara, jiran dan rakan-rakan terdiri daripada masyarakat berbangsa Cina dan Melayu.

Firdaus berkata, ada di kalangan saudara mara dan jiran tetangga yang telah memeluk Islam sebelum ini, sekaligus menjadikan mereka sekeluarga cukup harmoni.

“Selain menjamu makanan dan buah mandarin, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa. Ada juga kumpulan buskers yang menyanyikan lagu nasyid.

“Walaupun sudah seminggu, Tahun Baharu Cina, rumah terbuka yang diadakan di rumah kami tetap meriah. Ramai saudara mara, jiran dan rakan-rakan datang.

“Macam-macam kami bualkan, tiada masalah komunikasi, sebab saya, isteri dan anak-anak boleh berkomunikasi bahasa Cina dan Melayu,”katanya.

Firdaus yang juga disapa Siong dalam kalangan rakan-rakan berbangsa Cina kelihatan begitu mesra melayan setiap tetamu yang putus-putus datang.

Bagi rakan baiknya, Luah Eak Ping, 54 sikap Siong cukup disenangi rakan-rakan yang kebanyakkannya terdiri daripada nelayan.

“Seronok dapat datang rumah terbuka Siong, dia melayan kami seperti keluarganya sendiri,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *