home Semasa Usah gadaikan maruah hanya untuk berfesyen

Usah gadaikan maruah hanya untuk berfesyen

 

SALAH satu keindahan Islam adalah Islam sentiasa mengambil langkah mencegah sebelum terjadinya sesuatu kebinasaan.

Lihatlah pada seruan dan penganjuran memakai hijab bagi wanita. Indahnya Islam yang memelihara maruah dan aib wanita dengan pemakaian hijab.

Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya; janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) tampak padanya. Wajib atas mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya. (QS an-Nur [24]: 31)

Hijab, bukanlah sarung kepala.
Hijab, bukan aksesori pakaian anda.
Hijab adalah mahkota yang memelihara kemuliaan wanita.

Hari ini, wanita Islam khususnya disogok dengan ideologi wanita bertudung juga serba boleh untuk lakukan apa sahaja.
Bertudung, masih boleh menyanyi dan menari di khayalak ramai.
Bertudung, masih boleh hisap rokok.
Dan yang terbaru, bertudung masih boleh masuk ke kelab malam dan membuat tarian menggiurkan.

Saudari, pemakaian hijab adalah satu kemuliaan bagi kita. Ia sebagai lambang bahawa kita mengangkat syariat Allah dan memelihara apa yang disukai oleh Allah. Manakan boleh untuk kita mencampurkan kemuliaan ini dengan maksiat, apatah lagi dengan paparan di khalayak ramai dan menjadi ikutan.

Imej seorang muslimah seharusnya mengangkat kemuliaan dirinya. Wanita muslim tidak meleburkan prinsip dan kefahaman Islam dalam dirinya walaupun tujuan melariskan produk dan pemasaran. Ketahuilah rezeki dan kekayaan adalah lahir dari keberkatan dan rahmat Allah kepada kita. Percampuran maksiat dan hijab adalah sesuatu yang harus dihentikan demi memelihara kesucian syariat yang Allah anjurkan itu.

Buat para wanita muslimah diluar sana, usah gadaikan maruah anda hanya kerana minat dan ikutan didalam berfesyen. Fahamilah bahawa Islam telah menggariskan syariat yang melindungi diri kita dan menutup aib kita. Kemodenan tidak diukur dengan sesingkat mana tudung yang anda baluti di leher dan kepala. Jika itu adalah kayu ukurnya maka fahaman feminis ini telah membiarkan anda dinilai dari pemakaian anda, bukan dari akal dan kredibiliti anda.

Penampilan kita adalah apa yang kita ingin manusia harapkan dari kita. Berhijab dan menutup aurat adalah lambang kita mahukan penghormatan ke atas diri kita, maka usahlah dicalari dengan tabiat dan perbuatan maksiat. Konsep ini yang sudah semakin lebur dari kefahaman wanita muslimah hari ini. Trend dan ikutan lebih diutamakan berbanding prinsip Islam yang dianjurkan.

Tidak kiralah,
Sama ada anda penjual tudung,
Pembeli tudung,
Tukang pemasaran industri tudung,
Nilailah setiap tingkah laku dan keputusan anda atas neraca Islam,
Hayatilah sebenar-benar pensyariatan hijab yang bukan sekadar kerudung kepala, tetapi simbolik maruah dan aib anda yang harus dipelihara.

Imej kita adalah nilai yang kita ingin letakkan pada diri kita.
Maka hiasilah peribadi kita dengan kemanisan budi serta persekitaran yang membina dan memelihara iffah kita.

Dr Nadiah Norudin
Perunding Imej Bertauliah

Sumber: ismaweb.net

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *