home Semasa Konvoi kemanusiaan terhalang, rejim Assad terus bedil Ghouta

Konvoi kemanusiaan terhalang, rejim Assad terus bedil Ghouta

 

GHOUTA – Konvoi bantuan kemanusian yang dirancang dibawa masuk ke kawasan timur bandar ini, hari ini, terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab keselamatan, kata agensi Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

“Konvoi bantuan hari ini terpaksa ditangguhkan kerana situasi keselamatan di kawasan berkenaan yang tidak membenarkan kami menjalankan operasi kemanusiaan,” kata Jurucakap ICRC, Ingy Sedky.

Konvoi kemanusiaan itu membabitkan ICRC, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bulan Sabit Merah Arab Syria, sepatutnya memasuki dan mengedarkan bantuan kepada penduduk di Douma di Ghouta Timur, hari ini.

Wartawan yang mengikuti konvoi itu melaporkan kenderaan membawa pelbagai bahan, termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan diletakkan di tepi jalan menuju Ghouta Timur, tidak jauh dari pusat pemeriksaan yang dikawal rejim Bashar Al-Assad di Wafideen.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh minggu ini operasi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Ghouta Timur diganggu oleh operasi ketenteraan rejim Syria dan sekutunya, Russia.

Isnin lalu, 46 trak membawa bekalan bantuan yang pertama sejak serangan besar-besaran rejim Syria dan Russia ke atas Ghouta Timur bermula 18 Februari lalu, turut berdepan kerenah askar rejim Assad yang merampas sebahagian besar peralatan perubatan.

Ghouta Timur dikepung tentera rejim Syria sejak 2013, selepas kawasan itu diambil alih kumpulan pejuang, menyebabkan penduduk kekurangan bekalan makanan dan perubatan.

Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini, meluluskan gencatan senjata 30 hari di seluruh Syria, tetapi tidak diendahkan rejim Assad dan Russia. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *