home Semasa Letakkan al-Quran, Sunnah sebagai paksi kehidupan: Sultan Mizan

Letakkan al-Quran, Sunnah sebagai paksi kehidupan: Sultan Mizan

 

KUALA BERANG – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam meletakkan Al-Quran dan as-Sunnah sebagai paksi kehidupan seharian.

Baginda bertitah, kehidupan umat Islam akan lebih bermakna kerana semua aspek kehidupan yang dilalui setiap masa dan ketika adalah cerminan dari maksud dan saranan Al-Quran.

“Aspek-aspek kehidupan ekonomi, politik dan juga masyarakat telah dihurai secara menyeluruh dan disediakan secara penuh protokol oleh kitab suci Al-Quran. Melalui Al-Quran, Islam menawarkan sistem ekonomi yang bersifat dinamik apabila golongan kaya dikehendaki membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui pensyariatan zakat.

“Siasah Islam pula telah meletakkan kebenaran dan keredhaan Ilahi sebagai matlamat paling tinggi yang perlu dipikul tanpa mengorbankan mana-mana pihak.

“Dari sudut budaya bermasyarakat pula, Al-Quran memaparkan pelbagai ciri dan formula menghargai sesama manusia sejagat,” titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran kali ke-61 Peringkat Negeri Terengganu 1439 Hijrah/ Tahun 2018.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Sultan Mizan turut bertitah, kehidupan akan lebih indah jika perkara-perkara dalam Al-Quran dapat sama-sama diberi keutamaan seterusnya diamalkan.

“Seandainya hakikat ini menjadi kenyataan, Beta percaya tidak akan timbul sebarang perasaan di kalangan seluruh umat Islam dan kita dapat hidup dalam keadaan lebih bermakna kerana semua pihak menjana akhlak mulia berpandukan Al-Quran.

“Marilah kita sama-sama memantapkan niat dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai paksi kehidupan seharian. Semoga dengan kekuatan kita berada dalam saf yang sama akan menjadi asbab kepada curahan rahmat dan barakah Allah yang berterusan di muka bumi ini,” titah baginda.

Johan Qari Majlis Tilawah peringkat Negeri Terengganu disandang oleh Mohd Zaky Ismail, 34 tahun dari daerah Kemaman sementara johan qariah dimenangi oleh Nor Hidayah Abd Rahman, 27 dari daerah Setiu.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, piala iringan dan pusingan serta sijil penghargaan. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *