home Semasa Polis Johor, masjid jalin kerjasama banteras jenayah

Polis Johor, masjid jalin kerjasama banteras jenayah

 

JOHOR BAHRU – Polis Johor bertindak proaktif menerusi jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan masjid di negeri ini melalui program ‘Satu Masjid Satu Polis’ (1M1P) sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah secara menyeluruh termasuk di kawasan masjid.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, program dengan usaha sama Jabatan Agama Islam Negeri Johor itu juga bertujuan untuk meluaskan jaringan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan masjid.

“Program 1M1P ini amat baik, yang mana pihak pengurusan masjid dapat menyampaikan aduan dan maklumat terus kepada anggota atau pegawai polis yang ditugaskan sebagai pegawai perhubungan masjid, sekiranya terdapat sebarang kejadian berlaku di kawasan masjid mahupun di luar kawasan masjid,”

“Setakat ini, seramai 32 pegawai perhubungan masjid telah dipilih dan masing-masing ditempatkan di 32 masjid di Johor Bahru Selatan dan kita bercadang untuk meluaskan program ini di seluruh daerah,” katanya selepas melancarkan program ‘High Profile Policing’ di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.

Katanya, program 1M1P yang bermula pada hari ini di seluruh Johor itu juga akan memastikan pegawai perhubungan masjid membuat lawatan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi berinteraksi dan mendapatkan maklum balas terhadap keselamatan masjid dan sekitarnya.

“Pihak polis bukan sahaja melakukan pemantauan berterusan, malah turut terlibat dalam program yang dilaksanakan masjid, selain memberi ceramah dan kempen mengenai kaedah pencegahan jenayah,” katanya.

Mohd Khalil berkata, masyarakat juga perlu membantu pihak polis dengan sentiasa mengawasi gerak-geri orang awam di sekeliling bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Masyarakat harus mempunyai rasa tanggungjawab dan mengambil berat terhadap keselamatan perkesekitaran serta mewujudkan persekitaran kondusif dengan slogan ‘United Against Crime’ (Bersatu Menentang Jenayah),” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *