home Semasa Hamas tuduh Mossad bunuh jurutera Palestin di Kuala Lumpur

Hamas tuduh Mossad bunuh jurutera Palestin di Kuala Lumpur

 

BANGI – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menuduh agensi perisikan rejim pengganas Israel, Mossad, melaksanakan operasi membunuh saintis dan ulama muda Palestin, Dr Fadi al-Batch di Malaysia.

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh berkata, pihaknya menyalahkan Mossad Israel kerana melakukan pembunuhan itu.

“Pembunuhan ke atas ulama itu ada tujuannya, namun rakyat Palestin tabah menghadapi apa saja rintangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin tertinggi Hamas itu berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pegawai kanan untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai atasan Malaysia serta melakukan tindakan susulan berhubung kejadian itu.

Dr Fadi ditembak ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh, berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak awal pagi semalam.

Pembunuhan itu dikatakan dilakukan secara profesional. Siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di tempat pejalan kaki kira-kira jam 6 pagi Sabtu.

“Suspek melepaskan lebih 10 das tembakan dan pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tembakan pada kepala dan badan mangsa, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis turut menemui dua kelongsong peluru di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, kejadian itu ada kaitan dengan ‘organisasi antarabangsa’.

Sebelum ini, Hamas menuduh Mossad terbabit dalam pembunuhan beberapa pejuang Palestin dan ahli sainsnya. Antaranya ialah pembunuhan pakar dron, Mohamed Zouri di Tunisia pada 2016, serta pegawai kanan Hamas, Mahmud al-Mabhuh di sebuah hotel di Dubai pada 2010.

Ramai pihak di Malaysia turut mendakwa ejen Mossad sudah masuk ke Malaysia dan menggesa pihak berkuasa lebih prihatin mengenainya.

Sebelum ini, Malaysia membenarkan beberapa diplomat rejim pengganas itu yang diketuai Timbalan Duta negara itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Roet, memasuki Malaysia selama seminggu, bagi menghadiri persidangan World Urban Forum Ke-9 (WUF9) anjuran PBB, di mana Malaysia menjadi tuan rumah, bermula 7 Februari lalu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *