home Uncategorized Kebebasan bersuara bukan lesen menghina

Kebebasan bersuara bukan lesen menghina

 

1. Dalam tempoh berkempen ini, setiap parti telah mula menggerakkan jentera bagi menawan hati rakyat. Dalam keghairahan berkempen, tertib pertuturan haruslah dijaga. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk kita menyakiti dan memfitnah.

2. Perihal menjaga lisan ini adalah antara perkara yang sangat dijaga oleh Rasulullah ﷺ. Al-Imam Abu Daud meriwayatkan kisah bagaimana Abu Bakar telah dicaci oleh seorang lelaki. Rasulullah ﷺ ketika itu duduk bersama Abu Bakar. Abu Bakar sedikit pun tidak membalas caci-maki lelaki tersebut. Sehinggalah apabila dicaci buat kali ketiga, Abu Bakar tidak tahan lalu membalas cacian tersebut. Ketika itu Rasulullah ﷺ bangun meninggalkan Abu Bakar. Lihatlah bagaimana Rasulullah ﷺ ingin mendidik sahabat baiknya sendiri. Dalam keadaan mendesak sekalipun, Rasulullah mengingatkan Abu Bakar supaya tidak mengeluarkan perkataan yang tidak baik.

3. Menurut al-Imam al-Tirmizi, Aisyah pernah mengeluarkan kata-kata merendahkan Safiyyah yang juga isteri Rasulullah ﷺ. Aisyah dikatakan seolah menyebutkan atau menunjukkan kekurangan Safiyyah dihadapan Rasulullah. Rasulullah ﷺ menegur perbuatan Aisyah tersebut dengan berkata:

لَقَدْ مَزَجْتِ بِكَلِمَةٍ لَوْ مَزَجْتِ بِهَا مَاءَ البَحْرِ لَمُزِجَ

Maksudnya: Sesungguhnya engkau (wahai Aisyah) telah mengucapkan perkataan yang sekiranya diletakkan didalam lautan, akan berkocaklah lautan tersebut.

Nasihat Rasulullah ﷺ ini menggambarkan bahawa perkataan yang tidak elok, sekalipun sedikit, boleh menyebabkan bencana shingga lautan yang begitu luas menjadi bergelora.

4. Al-Imam Al-Bukhari pula merekodkan kisah bagaimana Rasullullah ﷺ menegur secara ‘direct’ sahabat yang mengejek Saidina Bilal kerana berkulit hitam. Tindakan memanggil panggilan yang seakan menghina ini membuatkan Rasulullah berang lalu menegur sahabat tersebut dengan berkata:

إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ

Maksudnya: Sesungguhnya pada dirimu (sifat) Jahiliyyah.

Lihatlah bagaimana Rasulullah ﷺ menyifatkan mereka yang menuturkan perkataaan tidak baik ini sebagai orang yang memiliki sifat Jahiliyyah.

5. Berjuang atas prinsip kebebasan bersuara tidak bererti seseorang itu bebas menyakiti, apatah lagi menabur fitnah. Jauhi calon yang bersikap buruk dan bersifat keji. Muslim seharusnya memilih calon yang berakhlak dan berwibawa.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *