home Semasa Laungan ‘Laillahaillallah, As-Syahid Habibullah’ iringi jenazah Dr Fadi

Laungan ‘Laillahaillallah, As-Syahid Habibullah’ iringi jenazah Dr Fadi

 

KUALA LUMPUR: Laungan “Laillahaillallah, as-Syahid Habibullah” berkumandang di Surau Medan Idaman, Setapak, tatkala jenazah Imam Dr Fadi Al-Batsh dibawa masuk ke perkarangan surau itu.

Laungan yang lazimnya kita dengar di kaca TV, sewaktu ruangan berita dunia, apabila jenazah rakyat Palestin terkorban di Semenanjung Gaza, atau di kem Sabra dan Shatilla, kini kedengaran di bumi Malaysia sendiri.

Di kaca televisyen, lazimnya setiap kali ada jenazah diusung, pasti akan berlatarbelakangkan bangunan yang separa musnah, padang pasir yang meluas, askar-askar Israel yang memerhati dan mengawal keadaan dari jauh.

Namun di sini, suasananya begitu kontra.

Setibanya jenazah beliau dari Hospital Selayang, keluarga dan sahabat handai Dr Fadi terus mengusung jenazahnya dari tempat kejadian, kira-kira 200 meter ke surau itu.

Sejurus badan di bawa masuk ke perkarangan surau, raungan dan esakan juga kedengaran di setiap pelusuk surau, datangnya dari mereka yang kelihatan dan berjubah seperti orang Arab.

Mata ini juga menyaksikan tangisan dari orang Malaysia sendiri, baik yang tua, muda, wanita dan lelaki.

Kata mereka yang menghadiri solat jenazah beliau, kematian imam dan saintis muda Palestin, yang juga merupakan seorang pensyarah di UniKL itu, ibarat gugurnya seorang Syuhada.

Berebut-rebut yang hadir mahu memegang kerandanya, tanda penghormatan yang bukan calang-calang manusia dapat menerimanya.

Empat belas butir peluru ditemukan di badan jenazah. Dua orang pelakunya dikatakan ejen Mossad, agensi perisikan Israel, namun sehingga kini masih belum dapat dibuktikan kebenaran dakwaan itu.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ada kemungkinan serangan terhadap Dr Fadi ada kaitan dengan pihak yang bermusuhan dengan Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dalam kenyataan yang diedarkan kepada media menyebut, jenazah Dr Fadi telah mendapat kelulusan untuk dibawa masuk ke Gaza.

“Isteri dan tiga orang anaknya akan berangkat pulang ke Egypt pada petang ini (semalam) kira-kira jam 7.30 petang menaiki penerbangan Saudi Airlines”. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *