home Semasa Keruntuhan akhlak perlu diatasi dengan penekanan agama: Tengku Abdullah

Keruntuhan akhlak perlu diatasi dengan penekanan agama: Tengku Abdullah

 

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu langkah lebih proaktif segera diambil untuk memberi penekanan agama bagi menghadapi krisis nilai dan keruntuhan akhlak masa kini.

Baginda bertitah, penekanan kepada pendidikan agama itu penting kerana ia membawa impak lebih besar kepada pembangunan modal insan.

“Manusia yang mesti kita bangunkan pada hari ini ialah manusia yang tidak melupakan penciptanya, tidak terpengaruh dengan keindahan dunia serta menindas orang lain demi kepentingan diri dan ketamakan harta.

“Ilmuan yang ingin kita lahirkan ialah mereka yang membela nasib ummah, berbakti kepada nusa dan bangsa serta membawa rahmat kepada sekalian alam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan, Khatam Hafazan Al Quran dan majlis berbuka puasa Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini, malam tadi.

Teks ucapan baginda dibacakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelas baginda, pemahaman Islam sebenar menjadi asas kekuatan sebagai umat Islam dan mereka harus berusaha memahami al Quran mengikut Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketaqwaan hanya kepada Allah swt.

“Sejak turunnya wahyu pertama, al Quran terpelihara dalam keasliannya dalam dada sahabat dan penghafaz al Quran… mereka berperanan membantu memelihara keaslian dan melindungi kesahihan al Quran itu sendiri.

“Bilangan penghafaz Al Quran yang bertambah serta kecenderungan ibu bapa yang begitu berminat menghantar anak-anak mengikuti kelas tahfiz adalah satu petanda baik yang diharapkan berterusan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menyatakan penghargaan terhadap kerajaan negeri dan Yayasan Pahang yang memberikan bantuan berterusan kepada MTNP bermula daripada pembangunan infrastruktur sehingga membangunkan sistem yang membolehkannya mencapai pelbagai kejayaan.

“Saya berbangga apabila dimaklumkan Maahad Tahfiz Negeri Pahang mendapat keputusan terbaik bagi Sijil Pelajaran Malaysia, diploma dan kokurikulum, saya berharap pencapaian ini dapat dikekalkan pada tahun-tahun akan datang,” titah baginda. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *