home Semasa UMMAH syor tubuh Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi Islam

UMMAH syor tubuh Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi Islam

 

BANGI – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yakin peranan dan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih relevan dan diperlukan, khususnya dalam kecelaruan pemikiran umat Islam ketika ini.

Tidak menafikan wujud kelemahan di beberapa sudut, namun Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, langkah menutup atau mengecilkan fungsi institusi itu tidak seharusnya berlaku, sebagaimana desakan pihak tertentu.

Justeru beliau menegaskan, UMMAH sebagai sebuah NGO yang menghimpunkan lebih 200 NGO Melayu dan Islam di Malaysia akan terus menyokong dan mempertahankan Jakim.

“Walaupun begitu UMMAH menyambut baik sebarang usaha untuk menambahbaikan peranan Jakim seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.

“Hasrat Perdana Menteri untuk merundingi cendikiawan Islam bagi tujuan mengukuhkan bukan mengecilkan atau melemahkan peranan Jakim ke arah penghayatan ajaran Islam dengan lebih baik adalah amat dialu-alukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang perbincangan dan keputusan berhubung kedudukan Jakim, sama ada terus dikekalkan atau dibubar.

Dr Mahathir memberitahu, satu rundingan akan diadakan di antara kerajaan dan beberapa tokoh ilmuan agama bagi membincangkan hal berkaitan kedudukan Jakim di negara ini.

Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, UMMAH menyokong keputusan kerajaan mengambil pandangan pakar dalam kalangan ilmuan Islam berkaitan urusan serta hal ehwal agama Islam.

“Keputusan ini boleh memadamkan kegelisahan umat Islam yang bimbang sekiranya masa depan Malaysia ditentukan oleh kaum minoriti.

“Justeru, UMMAH menyeru umat Islam untuk melihat keputusan kerajaan itu dengan positif,” katanya.

Selaras dengan itu, UMMAH turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi Islam yang diiktiraf setanding dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), bagi mengukuhkan institusi Islam di Malaysia.

“Sehubungan itu UMMAH mengusulkan nama-nama tokoh berikut untuk menganggotai Jawatankuasa berkenaan iaitu Tun Ahmad Fairuz; Tun Ariffin; Tan Sri Dr Rais Yatim; Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman; Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain dan Tan Sri Syeikh Ghazali.

“UMMAH yakin tokoh-tokoh di atas mempunyai pengalaman luas dan mampu memberi pandangan yang baik. UMMAH berharap melalui penubuhan Jawatankuasa di atas, keyakinan umat Islam untuk melihat agenda Islam diperkasakan oleh kerajaan dapat diperkukuhkan,” katanya.

Dalam masa sama, Aminuddin berkata, Jakim seharusnya menjadi badan bebas daripada sebarang campur tangan politik, sekali gus mengesyorkan supaya institusi berkenaan diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja.

Katanya, langkah itu selaras dengan Perlembagaan negara iaitu Raja sebagai ketua agama Islam. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *