home Semasa Dr Zakir Naik hanya sebar ajaran Islam, bukan ajar keganasan

Dr Zakir Naik hanya sebar ajaran Islam, bukan ajar keganasan

 

BANGI – Dr Zakir Naik tidak perlu diserahkan kepada kerajaan India kerana dia tidak melakukan jenayah. Dia sekadar menyebarkan agama Islam secara ilmiah melalui ceramah, dialog dan siaran media yang diasaskan olehnya, kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia tidak perlu melakukan ekstradisi pendakwah perbandingan agama terkemuka dunia itu ke India kerana beliau menjadi mangsa politik perkauman dan keagamaan di India.

Pensyarah Kanan Razak School UTM itu berkata, wujud sentiman perselisihan antara penganut Hindu dan Islam di India.

“Kes beliau di India berbentuk halangan ke atas beliau untuk mengamalkan kewajipan dan hak beragama iaitu menyampaikan ilmu kepada orang ramai.

“Jika dia dihukum, hukuman itu adalah berasaskan amalan agama beliau. Ini adalah antara sebab kerajaan Malaysia perlu mengetepikan ekstradisi,” katanya menulis dalam Harakah, hari ini.

Beliau berkata, pengaruh besar Dr Zakir Naik telah memberi kesan kepada sokongan terhadap parti-parti politik tertentu di India.

“Hujah-hujah beliau dalam ceramah dan forum mampu mengurangkan sokongan politik kepada parti-parti radikal Hindu di India.

“Jadi penangkapan dan hukuman ke atas beliau diharapkan dapat mengukuhkan parti-parti politik tertentu. Dari aspek ini beliau boleh juga dikategorikan sebagai pemohon suaka politik yang tidak boleh diekstradisi,” katanya.

Dr Muhammad Fathi berkata, pendakwah berasal dari India itu hanya sekadar melaksanakan hak asasi beliau untuk menyampaikan ilmu dan langsung tiada kaitan dengan aktiviti keganasan.

“Penangkapan dan hukuman yang mahu dikenakan ke atas beliau semata-mata kerana melaksanakan hak asasi ini tentunya bercanggah dengan perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara. Jadi Malaysia tidak perlu serahkan beliau kepada India,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan mengusir Dr Zakir Naik kerana beliau sudah diberikan status penduduk tetap.

Sebelum ini, kerajaan India mengesahkan sudah membuat permohonan rasmi kepada Putrajaya untuk mengekstradisi Dr Zakir Naik atas dakwaan terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *