home Kalam Tokoh, Semasa Konsep Hifz al-Din (Memelihara Agama): Timbalan Mufti

Konsep Hifz al-Din (Memelihara Agama): Timbalan Mufti

 

PERKATAAN Hifz al-Din adalah istilah yang digunakan oleh para ulama fiqh bagi menjelaskan maksud memelihara agama dalam konteks maqasid shar’iyyah. Perkataan al-Din di dalam al-Quran memberi makna pembalasan, sepertimana firman Allah SWT: “Apakah bila kita telah mati dan kita telah menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kita benar-benar (akan dibangkitkan) untuk diberi pembalasan?” (QS As-Saffat: 53)

Ia juga membawa makna perhitungan dan perkiraan seperti firman Allah SWT: “Yang menguasai di hari Pembalasan” (QS Al-fatihah: 4). Al-Din juga bermakna ketaatan seperti firman Allah: “Berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka kerana Allah” (QS Al-Nisa’:146). Ia merujuk kepada agama Islam seperti penegasan Allah SWT: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam.” (QS Aali Imran: 19)

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, dapat difahami penggunaan al-Din dari segi istilah bermakna peraturan ilahi yang membawa orang yang berakal secara sukarela kepada kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Oleh itu, perkataan al-Din adalah merujuk kepada agama Islam yang terkandung di dalamnya akidah, syariat dan akhlak. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu.” (QS Al-Maidah: 3)

Perkataan hifz bermakna memelihara iaitu membela, menjaga, merawat, menternak binatang, mempunyai atau menyimpan, membiarkan tumbuh dan menyelamatkan serta melepaskan.

Umpamanya, Allah SWT menjelaskannya di dalam al-Quran: “Maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).” (QS Al-Nisa’: 34) Seperti juga firman Allah SWT: “Dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap syaitan yang sangat durhaka.” (QS As-Saffat: 7)

Kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa perkataan hifz merujuk kepada memelihara. Oleh itu Hifz al-Din membawa makna memelihara kesucian agama Islam dengan memastikan ia didaulatkan dan diamalkan serta dilindungi daripada sebarang bentuk pencemaran dan melaksanakan usaha pencegahan secara berterusan bagi mengelakkan para pengikutnya dari meninggalkan Islam.

Justeru dengan menjaga agama bermakna umat Islam akan menjaga dharuriyyat al-khamsah atau al-usūl al-khamsah (lima dasar) iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Ini kerana asas kepada penjagaan jiwa, akal, keturunan dan harta harta adalah berteraskan kepada agama. Jelasnya tanpa agama bagaimana peraturan lain boleh dikuatkuasakan.

Justeru itu, Imam al-Shatibi membahagikan urusan pemeliharaan kesucian agama Islam kepada dua aspek iaitu; pertama, memastikan ajaran Islam dilaksanakan sama ada yang berkaitan dengan fardhu ain atau fardhu kifayah. Kedua, agama Islam mestilah dilindungi daripada pupus dengan memastikan penganutnya menjauhi dosa kecil, dosa besar serta perkara bid‟ah. Di samping itu, hukuman hudud hendaklah dilaksanakan bagi mereka yang murtad supaya penyakit ini tidak terus merebak sehingga merosakan struktur sosial orang Islam.

Manakala Ziad Mohamad Ahmidan pula menjelaskan bahawa pelaksanaan maqasid shar’iyyah dari sudut memelihara agama terbahagi kepada dua komponen utama iaitu memastikan kewujudan dan kelangsungan agama Islam dengan memastikan amalan beragama bagi penganut Islam diakukan secara selesa dan sebebas-bebasnya, memastikan kedaulatan dan kedudukan Islam dalam negara sentiasa dijadikan agenda utama dan merancakkan dakwah Islamiyyah di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Komponen kedua ialah berusaha mengelakkan agama Islam daripada tercemar kesuciannya dan pupus. Tindakan-tindakan berikut perlu diambil perhatian iaitu berjihad memelihara kesucian agama Allah , mencegah jenayah murtad, menghapuskan bid‟ah, menjauhkan daripada dosa dan maksiat daripada menjadi ketagihan masyarakat, mengambil tindakan dan pendekatan yang tegas lagi munasabah apabila ajaran Islam dipermain-mainkan.

Kewajipan menjaga agama ini dirujuk kepada menjaga agama Islam. Satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT dan satu-satunya agama yang disebut di dalam perlembagaan negara. Tanggungjawab ini wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim di Malaysia di samping ia sepatutnya menjadi tanggungjawab utama kerajaan di saat semua pihak menuntut hak kebebasan masing-masing namun al-Quran secara tuntas menegaskan antara tujuan utama perutusan Nabi Muhammad SAW adalah memastikan Islam menang dan mengatasi agama-agama lain.

Firman Allah SWT: Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (QS Al-Taubah: 33)

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *