home Semasa Pementasan teater perlu ambil kira pandangan Islam

Pementasan teater perlu ambil kira pandangan Islam

 

IPOH: Penggiat seni teater dan agamawan perlu sentiasa mengadakan perbincangan untuk memastikan setiap persembahan teater tidak lari daripada pandangan Islam.

Bekas Felo Penyelidik Kanan Drama dan Teater, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Zainal Abd Latiff, berkata sebelum ini penggiat teater tidak ambil kisah terhadap pandangan Islam mengenai karya dipentaskan, namun jika pandangan agamawan diambil kira, mereka boleh mengelak daripada mementaskan teater bercanggah dengan Islam.

“Penggiat dan aktivis sebelum ini buat teater begitu sahaja serta tidak kisah dengan pandangan Islam. Sudah lama mereka cuba mengelak, malah orang agama pun tidak pernah bercakap mana yang boleh dan tidak boleh.

“Jadi saya harap penggiat teater dan agamawan dapat berbincang. Kalau kita tidak pernah bertegur atau tidak duduk berbincang, masing-masing mementaskan teater (mengikut) emosi,” katanya selepas membentangkan kertas kerja Islam dan Seni pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-5 2018 (WCIT 2018) di sini, semalam.

Zainal berkata, memang kadang-kala terdapat percanggahan pendapat antara kedua-dua pihak namun ia akan menjadi rahmat sekiranya menerima kelemahan dan kelebihan masing-masing sekalipun tidak senang pandangan berbeza.

Katanya, melalui perbezaan pandangan itu juga penggiat teater akan dapat maklumat lebih jelas mengenai apa bentuk pementasan teater yang akan dilaksanakan dan selari dengan kehendak agama.

Beliau berkata, antaranya adalah mengadakan pementasan teater yang mempunyai watak nabi tetapi pementasan tidak menggunakan lakonan secara realistik sebaliknya secara simbolik hanya melalui perkataan.

“Jadi walau macam mana sekali pun penggiat teater dan agamawan perlu bersama.

“Orang teater juga kena ada ilmu teater yang ini tidak boleh dibuat dan yang itu tidak boleh atau yang ini haram dan yang itu boleh.

“Jika ada perkara yang mahu dilakukan juga tetapi dilarang, apa yang perlu dilakukan? Itulah masa kita kena kreatif dan memerlukan rujukan dengan agamawan serta mufti,” katanya.

Katanya, jika penggiat teater dan agamawan masing-masing dengan cara mereka dan tidak mahu berbincang ia hanya akan mengeruhkan keadaan kerana akan terus bermain dengan emosi. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *