home Uncategorized Taubat penjenayah menjadi ulama dunia

Taubat penjenayah menjadi ulama dunia

 

Satu hari saya berborak dengan isteri tercinta. Beliau bertanyakan kepada saya, “Abang, possible ke kalau orang tu jahat, kemudian dia insaf taubat, lepas tu jadi orang hebat macam alim ulama?”.

Mendengar soalan si isteri membuatkan saya tersenyum. Ini jawapan saya :

Ya, benar. Tidak mustahil seorang pendosa menjadi seorang ulama. Bahkan pernah direkodkan di dalam kitab bahawa ulama terdahulu seperti Al-Qa’nabi dan Al-Fudayl bin ‘Iyad pernah melalui kehidupan yang gelap.

Ini kisah mereka:

1. Kisah Al-Qa’nabi (w. 221 H)

Nama penuh beliau ialah Abdullah bin Maslamah al-Qa’nabi. Beliau merupakan ulama hadith yang menjadi salah seorang murid kepada Imam Malik (w. 179 H). Beliau juga mendapat banyak pujian dari ulama hadith yang lain seperti Abu Hatim al-Razi, Yahya ibn Ma’in, dan Abu Zur’ah.

Berkata Yahya Ibn Ma’in, ““Aku tidak pernah melihat seseorang yang bercakap ikhlas kerana Allah sepertimana Waki’ dan al-Qa’nabi”. Abu Hatim apabila ditanyakan oleh anak beliau siapa yang beliau lebih suka antara al-Qa’nabi atau Ismail bin Abi Uwais ketika meriwayatkan al-Muwatta’, jawab beliau: “al-Qa’nabi dan aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih takut (kepada Allah) berbanding beliau.”

Namun setiap manusia mempunyai masa silamnya, al-Qa’nabi dahulunya merupakan seorang yang gemar melepak dan menghabiskan masa lapang dengan perkara yang tidak berfaedah. Bahkan beliau pernah mengugut untuk menikam Syu’bah bin al-Hajjaj (w. 160 H) yang merupakan Amir al-Mu’minin fi al-Hadith di zaman itu!

Suatu hari ketika al-Qa’nabi melihat seorang syeikh sedang berjalan di Basrah diikuti oleh ramai orang. Beliau bertanya siapakah syeikh tersebut yang nampak ‘famous’. Jawab mereka, “Itulah Syu’bah Bin al-Hajjaj”.

Lalu beliau pergi ke Syu’bah Bin al-Hajjaj dan meminta Syu’bah membacakan dan memperdengarkan hadith kepadanya. Syu’bah enggan kerana al-Qa’nabi bukanlah dikalangan murid beliau dan nampak bermain-main, tidak bersungguh. Berang dan marah dengan keengganan Syu’bah, maka beliau berkata “Sampaikan aku suatu hadith atau aku akan tikam kau dengan pisau aku!”

Setelah diugut oleh al-Qa’nabi, Syu’bah bersuara dan berkata “Mansur menyampaikan kepada kami, daripada Rib’i, daripada Abi Mas’ud al-Badri r.a, katanya “Sabda Nabi s.a.w:

إذا لم تستحي فاصنع ما شئت

“Jika engkau tidak malu, maka buatlah apa yang engkau suka!”

Hadith tersebut seolah-olah menyentapkan diri al-Qa’nabi yang kelihatan tidak malu sehingga sanggup mengugut ulama hadith semisal Syu’bah di hadapan orang ramai. Beliau terus mencampakkan pisaunya, pulang ke rumah lalu membuang semua minuman keras miliknya. Seterusnya beliau berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan Imam Malik. Hadith itu juga ibarat kunci baginya mencari pintu taubat untuk merubah dirinya.

2. Kisah Al-Fudhayl bin ‘Iyadh (w. 187 H)

Al-Fudhayl bin ‘Iyadh merupakan seorang ulama yang zuhud. Tetapi pada zaman awal usia mudanya, beliau seorang perompak yang sering merompak kafilah-kafilah haji dalam perjalanan mereka ke Makkah.

Dinyatakan di dalam Siyar A’lam An-Nubala’, “Al-Fudhayl bin ‘Iyadh dulunya seorang penyamun yang menghalang orang-orang di daerah antara Abu Warda dan Sirjis. Dan antara sebab taubat beliau adalah kerana beliau pernah terpikat dengan seorang wanita. Maka tatkala beliau sedang memanjat tembok bertujuan menceroboh untuk melakukan perbuatan tidak baik terhadap wanita tersebut, tiba-tiba beliau mendengar gadis itu membaca ayat:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.” (Al–Hadid:16)

Al-Fudhayl kemudiannya terpana kaku mendengar peringatan dari ayat al-Quran itu yang seolah-olah ditujukan kepada dirinya.

Dikisahkan ketika beliau bersembunyi bagi merompak barang-barang kafilah yang ingin menunaikan haji, beliau memasang telinga mendengar apa yang diperbualkan oleh anggota kafilah tersebut. Salah seorang dari mereka berkata, “Mari kita bergerak cepat sebelum Fudhayl datang menghalang perjalanan kita, dan merompak barang kita.”

Fudhayl tersentak dengan kata-kata tersebut dan merasakan dirinya sangat teruk menakut-nakutkan para jemaah haji yang ingin bertemu Allah s.w.t.

Kesimpulan,

Pintu taubat itu luas. Allah s.w.t Maha Penerima Taubat. Al-Quran dan Hadith telah berjaya lembutkan hati ulama terdahulu yang di usia muda mereka juga tergelincir dari kebenaran.

Jangan pernah putus usaha untuk berharap dari rahmat Allah s.w.t. Tidak semestinya nakal kita di usia muda menjadikan kita gagal dan jahat selama-lamanya. Barangkali kesilapan itu lah yang menjadi pengajaran dan guru kita.

Allah s.w.t berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Zumar : 53)

Ustaz Afifi Saleh Abdul Rahman
Calon Master Hadith USM
afifiabdulrahman.wordpress.com

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

 

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *