home Semasa Islam musuh ketat komunis: DS Hadi Awang

Islam musuh ketat komunis: DS Hadi Awang

 

BANGI – Agama Islam adalah ajaran yang paling dimusuhi fahaman komunis, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, teori komunis menolak adanya Tuhan yang dipercayai oleh semua agama, lebih-lebih lagi agama Islam yang lengkap pengajarannya melibatkan ekonomi, politik dan seluruh aspek kehidupan manusia sejagat.

“Maka Islam menjadi musuhnya paling ketat. Bahkan ramai daripada kalangan ilmuan dan pemimpin Barat menganggap Islam lebih bahaya daripada komunis, walaupun mereka juga berperang menentang komunis sehingga hari ini.

“Walaupun komunis itu tidak membawa bala tenteranya seperti negara Barat yang menjajah kita, tetapi fahamannya menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum yang direkrut menjadi bala tenteranya.

“Memang mereka juga menentang penjajah Barat, tetapi mereka juga adalah bala tentera penjajah pemikiran komunis, di mana bahayanya lebih besar dari bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih itu.

“Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Adapun penjajah Barat secara lebih terang-terangan dapat dilihat wajahnya,” katanya.

Ekoran itu, katanya, dapat difahami mengapa pemimpin generasi awal daripada PAS seperti Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan.

Mereka bahkan menyokong ISA kerana menentang komunis, tegasnya.

“Kita juga membaca bagaimana tanah air umat Islam yang dijajah oleh komunis itu menerima akibat yang lebih dahsyat daripada penjajah Barat, di mana kesannya masih nyata pada hari ini. Walaupun ideologi komunis telah dikuburkan oleh penganutnya sendiri.

“Saya dapati ijtihad pemimpin kita yang sama-sama menentang penjajah Barat, tiba-tiba menentang komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan.

“Inilah petunjuk Allah kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi percaturan antarabangsa pada zamannya di antara Rom dan Parsi yang menjadi sebab turun Surah Ar-Rum: 2-5.

“Allah mewahyukan ayat-ayat ini apabila Rasulullah SAW dan para sahabatnya berdukacita Rom dikalahkan oleh Parsi, walaupun kedua-dua kuasa besar itu bermusuh terhadap Islam, tetapi Parsi yang beragama Majusi lebih besar bahaya daripada Rom. Al-Quran adalah petunjuk kepada umat Islam dalam segala aspek.

“Maka kita mengharapkan mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis itu mendapat kelebihan para syuhada’ kerana menentang musuh Islam yang lebih besar dan mereka yang berpihak kepada komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *