home Semasa Praktikkan wala dan bara politik Islam elak Malaysia terancam

Praktikkan wala dan bara politik Islam elak Malaysia terancam

 

BANGI – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mengingatkan parti politik, tidak kira kerajaan dan pembangkang supaya kembali mempraktikkan konsep wala’ dan bara’ berlandaskan politik Islam.

Beliau berkata, kedaulatan negara khususnya umat Islam di Malaysia tidak akan terancam seperti sekarang, jika ahli politik di negara ini disiplin dalam mempraktikkan dua konsep itu di landasan yang betul.

“Kalaulah ahli politik Malaysia berdisiplin di dalam wala’ (kesetian kepada umat Islam) dan bara’ (tidak mendedahkan kelemahan umat Islam kepada bukan Islam, serta berpakat menjatuhkan umat Islam), maka tidaklah terjadi seperti yang berlaku sekarang,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan sekarang, yang didakwa ‘bersekongkol’ dengan Institut Republikan Antarabangsa (IRI), sebuah badan pemikir Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2002.

Katanya, kekuatan dalam umat Islam sudah memadai untuk membangunkan negara, tanpa perlu merujuk atau meminta campur tangan pihak asing untuk memberikan rundingan, bahkan sehingga terhutang budi apabila menerima dana.

IRI sebelum ini mendakwa, bahawa usahanya di Malaysia telah membuahkan hasil melalui keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dan ia menguntungkan AS daripada segi saingannya dengan China ketika ini.

Pengakuan itu dibuat Presiden IRI, Daniel Twining dalam sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies (CSIS), bulan lalu memberitahu, Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baharu Putrajaya sejak mula lagi.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan beberapa pemimpin PH termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Nurul Izzah sebelum ini mendakwa, kerjasama antara PH dan IRI hanyalah setakat latihan kepimpinan dwipartisan, dan mengaitkan Barisan Nasional (BN) serta Gerakan menerima latihan sama.

Muhammad Fauzi berkata, sejarah membuktikan bahawa tiada negara Islam yang gagal kerana kekuatan musuh, sebaliknya sikap ketidaksetiaan ahli politik meminta pertolongan daripada pihak asing untuk menumbangkan pesaingnya, adalah punca kejatuhan berlaku.

“Andalusia, Baghdad, Uthmaniyah menjadi buktinya. Ahli politik bila buat silap, kesuluruhannya umat menanggung beban untuk tempoh berkurun.

“Tidak ada seorang ketua pun yang mampu memimpin 10 orang Islam, apabila dia tidak menasihati mereka dan tidak berusaha (untuk kebaikan mereka), kecuali ketua itu tidaka akan masuk syurga bersama mereka.

“Bertakwalah kepada Allah wahai ahli politik Malaysia,” katanya.

IRI mempunyai kaitan dengan Parti Republikan dan diasaskan sebagai salah satu daripada empat pertubuhan prodemokrasi yang ditaja Jabatan Negara AS dan National Endowment for Democracy (NED) – sebuah pertubuhan bermatlamatkan pengukuhan institusi demokrasi di seluruh dunia, termasuk kesatuan sekerja dan kuasa pasaran bebas. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *