home Semasa Waspada umpan istilah ‘Islam liberal’

Waspada umpan istilah ‘Islam liberal’

 

KAJANG: Istilah seperti Islam liberal dan Islam progresif jika terus disebut-sebut serta digunakan secara meluas, dibimbangi menjadi tiket mudah kepada pejuang fahaman songsang menghalalkan tafsiran mereka terhadap agama.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata ia menunjukkan keyakinan kuat golongan ini, bahkan seperti mencabar kedudukan ulama.

“Ia gerakan yang kuat untuk meyakinkan masyarakat bahawa mereka satu wakil atau mazhab yang sah untuk mentafsir Islam.

“Saya setuju supaya kita mengambil sikap lebih berhati-hati terhadap istilah seperti ini yang sengaja mereka cipta,” katanya.

Mohd Farid ketika ditemui selepas Seminar Liberalisme dan Media Sosial di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, baru-baru ini berkata, mereka ini bukan saja menyifatkan pemikiran dibawa lebih terbuka, bahkan secara proaktif ingin membebaskan umat Islam daripada pandangan agama yang dikatakan jumud.

Katanya, golongan ini mempunyai cita-cita cukup besar sehingga ingin membangunkan semula agama yang sedia ada sempurna.

“Walaupun kita ada empat mazhab, namun semua bersetuju pada asas dan usul yang sama.

“Cuma, perbezaannya dari segi istinbat (kaedah mengeluarkan hukum daripada sumber seperti al-Quran dan hadis) serta sumber hukum, bahkan adat juga boleh menjadi satu hukum pada sebahagian mazhab.

“Golongan liberal ini pula cuba merungkai asas agama itu sendiri, jadi mana boleh ia diiktiraf sebagai satu mazhab yang sah,” katanya.

Usaha runtuhkan agama

Merujuk kepada kecelaruan yang lebih besar dilakukan oleh kelompok liberal di Indonesia, Mohd Farid berkata, ia lebih parah kerana melampaui batas sehingga tahap hendak melakukan kajian semula terhadap al-Quran, mahu mengubah istilah yang ada kerana dikatakan disalah tafsir oleh sahabat Rasulullah SAW serta ulama terdahulu.

“Mereka ini sampai ke tahap konsistensi Tuhan dalam menurunkan ayat turut dipersoal.

“Pada saya itu terlampau ekstrem sehingga boleh meruntuhkan agama. Tidak mungkin cara begini boleh diiktiraf sebagai satu sudut pandang atau mazhab yang boleh kita terima,” katanya.

Tegas Mohd Farid, istilah seumpama Islam liberal perlu diteliti secara lebih kritikal, khususnya melihat sekiranya ada keperluan untuk mengetengahkan terma lain seperti pernah dilakukan ulama terdahulu bagi mengklasifikasikan kelompok yang menyeleweng.

“Kita seperti cenderung masuk satu bakul saja, semua dikatakan liberal sedangkan mereka ini banyak peringkat tersendiri.

“Ada yang cenderung untuk menolak agama secara total dan segelintir menerima agama, tetapi melonggarkan pentafsirannya,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali, ketika ditemui pada majlis sama berkata, sewajarnya istilah Islam liberal ini tidak digunakan kerana ia bagaikan menggunakan elemen agama sebagai umpan.

“Islam itu sudah sedia lengkap, label sebegini boleh dikatakan satu modus operasi standard yang biasa berlaku bagi mana-mana penyelewengan.

“Istilah Muslim liberal bunyinya seakan bagus, tetapi sebenarnya mereka membawakan banyak perkara yang bertentangan dengan hukum Islam seperti mengaitkan ajaran agama sebagai ketinggalan zaman, tidak adil dan memperjuangkan hak murtad,” katanya.

Bertentangan Islam

Melihat dari perspektif berbeza, pensyarah Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Munawar Ismail, berkata pada sisi lain apabila istilah itu dipopularkan, ia sebenarnya ada membawa ke arah kebaikan, khususnya menyedarkan masyarakat bahawa ia gerakan yang salah dan bertentangan dengan Islam.

“Apabila kita sering sebut dan mempromosikan istilah sebegini, ditonjolkan sebagai satu perkara yang salah, maka sebenarnya kita sedang menolaknya secara terang-terangan.

“Bagi orang atau penyokong fahaman songsang ini, apabila sering diajukan dengan pelbagai provokasi, maka lama-kelamaan mereka akan keluar daripada persembunyian dan menzahirkan pandangan.

“Keadaan ini baik untuk kenal golongan ini, supaya dapat dibawa dalam sesi dialog dan muzakarah,” katanya.

Ahmad Munawar berkata, strategi golongan liberal ini dalam mempengaruhi masyarakat tidak dibuat secara fizikal, sebaliknya ia menggunakan jarum halus khususnya menggunakan media sosial.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh terus menyekat teknologi kerana mereka ada pemain-pemain yang bergerak dalam rangkaian yang besar.

Sokongan tamadun Barat

“Mereka ini bergerak dengan sokongan daripada tamadun Barat yang peradabannya bukan dalam tempoh singkat, tetapi bertahan sejak ribuan tahun lalu.

“Jadi, tidak mudah untuk mendepani mereka ini yang dibentengi kuasa dan sokongan dana besar,” katanya.

Beliau berkata, lebih menambah kesukaran kerana agenda liberal ini digerakkan atas nama organisasi yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Justeru, katanya, umat Islam seharusnya bangun daripada kealpaan dan bertindak secara profesional bagi mengekang kemaraan kelompok ini. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *