home Semasa Dua lesbian disebat di khalayak, sejarah negara tercipta di Terengganu

Dua lesbian disebat di khalayak, sejarah negara tercipta di Terengganu

 

KUALA TERENGGANU – Dua lesbian berusia 22 dan 32 tahun, menjalani hukuman enam kali sebatan bagi setiap pesalah di dalam kamar 2 Mahkamah Tinggi Syariah, Kompleks Jabatan Kehakiman Syariah, Jalan Sultan Mohammad di sini.

Hukuman terbuka di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd dan Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun, turut dihadiri kira-kira 100 individu lain yang dibenarkan masuk ke kamar perbicaraan.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Ahli Exco Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim; wakil Persatuan Peguam Muslim Malaysia; wakil Majlis Peguam Malaysia; polis; dan doktor.

Pada masa sama kira-kira 200 orang, termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul di pekarangan kompleks Jabatan Kehakiman Syariah untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Sebatan dilakukan dua kakitangan Jabatan Penjara (Wanita) Kajang, mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Seksyen 125 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, yang dibacakan bersama Seksyen 59 (1) sama kerana musahaqah (hubungan jenis perempuan dengan perempuan).

Pesalah pertama berusia 32 tahun disebat jam 10.11 pagi, manakala pesalah kedua jam 10.16 pagi. Kedua-duanya juga didenda RM3,000.

Dalam pelaksanaan hukuman itu, pesalah didudukkan di atas kerusi dan disebat menggunakan rotan. Cara sebatan dilakukan mengikut hukum Islam yang ditetapkan, di mana tangan pelaksana hukuman juga tidak diangkat tinggi, seperti kebiasaan hukuman sebat pesalah jenayah sivil.

Malah, Saiful Bahri sendiri yang menyaksikan hukuman itu dijalankan, menyifatkan tindakan guru merotan murid sekolah lebih sakit daripada hukuman sebat yang dijalankan ke atas kedua-dua wanita terbabit.

Kedua-duanya ditangkap pada 8 April lalu. Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, jam 1.50 tengah hari.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kemudian menjatuhi hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan, selepas kedua-duanya mengaku salah.

Mahkamah juga ketika itu menetapkan 28 Ogos sebagai tarikh pelaksanaan hukuman sebat, tetapi kemudian ditangguh ke hari ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *