home Semasa Usah kaitkan kesalahan individu dengan institusi tahfiz: Mufti Wilayah

Usah kaitkan kesalahan individu dengan institusi tahfiz: Mufti Wilayah

 

BANGI – Masyarakat diminta tidak melatah dan mengeluarkan sebarang bentuk spekulasi yang akan menimbulkan polemik lebih besar berhubung kes gangguan seksual di pusat tahfiz.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pusat pengajian tahfiz wajar dihormati dan kesalahan individu tidak sepatutnya dikaitkan dengan institusi berkenaan.

Mengambil contoh pepatah Melayu, ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ katanya, tindakan itu hanya mengundang persepsi dan menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara ini.

“Semua pihak perlu menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak terpandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar menunggu keputusan yang dikeluarkan mahkamah. Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kes seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur yang ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual, termasuk meliwat sembilan penuntut berusia belasan tahun, sejak beberapa bulan lalu.

Suspek berusia 30-an sudah didakwa dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada Rabu lalu.

Justeru, bagi memperkemaskan urustadbir pendidikan tahfiz negara, Dr Zulkifli berkata, sudah sampai masanya Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) terus diperkasakan.

Malahan, cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh supaya pendaftaran maahad tahfiz yang tidak berdaftar, adalah cadangan yang wajar dipandang serius.

“Selain itu, pemantauan berkala urustadbir dan kebajikan pelajar maahad tahfiz di setiap kawasan oleh Ahli Parlimen.

“Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti insitusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *