home Semasa Batal fatwa Syiah boleh timbulkan perpecahan umat Islam: Mufti Pahang

Batal fatwa Syiah boleh timbulkan perpecahan umat Islam: Mufti Pahang

 

KUANTAN: Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, menegaskan cadangan untuk membatalkan fatwa berhubung penetapan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam akan menyebabkan penganut agama itu berpecah.

Beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan itu dan berpendapat ia perlu ditentang kerana akan mendatangkan masalah kepada umat Islam.

“Di Pahang kita sudah ada fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran yang menyimpang daripada Islam. Jadi, mereka tidak boleh menyebarkan dan mengamalkannya secara terbuka.

“Jika diamalkan secara senyap-senyap kita tidak tahu…tetapi jika secara terbuka dan ada unsur untuk menyebarkannya, ia boleh dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar, menggesa pembatalan fatwa tahun 1996 yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam.

Bercakap kepada sebuah portal berita dalam talian, hari ini, Chandra percaya fatwa itu tersilap dan penganut fahaman Syiah tidak bertentangan dengan Islam kerana seperti pengikut mazhab Ahli Sunnah, mereka menerima al-Quran sebagai wahyu dan beriman dengan keesaan Allah.

Abdul Rahman juga berkata, perkara sedemikian sepatutnya tidak timbul kerana umat Islam sudah mengetahui bahawa ajaran Syiah ialah fahaman yang terpesong daripada akidah dan penganutnya perlu bertaubat.

“Isu-isu kecil dalam Islam kadang kala boleh timbulkan salah faham dan perdebatan di kalangan penganutnya seperti bacaan surah Yassin pada malam Jumaat…inikan pula berkaitan soal fahaman dan pegangan,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *