home Semasa Isma desak Jawatankuasa Hal Ehwal Tertinggi Islam bawa isu ICERD kepada Majlis Raja-Raja

Isma desak Jawatankuasa Hal Ehwal Tertinggi Islam bawa isu ICERD kepada Majlis Raja-Raja

 

BANGI – Pihak yang mendesak ke arah meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), mempunyai niat buruk terhadap bangsa Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, pengesahan ICERD bersama enam lagi triti lain hanya mengancam kedudukan Melayu dan Bumiputera ekoran reformasi institusi serta undang-undang yang diperuntukkan Perlembagaan.

Beliau berkata, keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memilih mengesahkan konvensyen berkenaan bukan hanya menjejaskan hak istimewa Bumiputera, malah menganggu-gugat kedudukan Raja-Raja Melayu, yang disifatkan beliau sebagai mengkhianati negara.

“Perkara 153(1) memperuntukkan: “Menjadi tanggungjawab Yang diPertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini”.

“Jika kerajaan memilih meratifikasi ICERD, ia akan menganggu-gugat kedudukan Raja-Raja Melayu dan tidak keterlaluan ia adalah perbuatan khianat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdullah Zaik berkata, ICERD bukanlah isu politik yang patut menjadi bahan perdebatan pihak tertentu, sebaliknya ia membabitkan kedaulatan dan pencabulan struktur undang-undang negara, di mana melangkaui kuasa Raja-Raja Melayu serta kepentingan rakyat.

“Bersetuju meratifikasi ICERD bermakna kita bersetuju agar Rejimen Askar Melayu dibubarkan, Tanah Rizab Melayu dihapuskan, fasiliti pendidikan Melayu seperti Universiti Teknologi Mara (UITM), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan biasiswa pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera tidak lagi boleh dinikmati.

“….sedangkan data ekonomi menunjukan Melayu dan Bumiputera adalah kaum yang paling ketinggalan di negara ini,” katanya.

Justeru katanya, Isma mendesak Jawatankuasa Hal Ehwal Tertinggi Islam yang ditubuhkan pada Julai lalu, untuk mengambil tanggungjawab membawa isu berkenaan kepada Majlis Raja-Raja, supaya dapat diambil keputusan dan menghadkan perbincangan demi menjaga kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan negara.

“Kami juga menyeru agar bangsa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak bangkit memberi mesej yang tegas jika kerajaan berkompromi terhadap apa jua hak yang diperuntukkan didalam perlembagaan.

“Kepada kerajaan Pakatan Harapan, kami memberi amaran tegas agar tidak terlalu ghairah dalam mengikut telunjuk asing. Sebaliknya, kerajaan perlu menumpukan aspek perlaksanaan manifesto pilihanraya dan kebajikan rakyat serta membuktikan kemampuan mentadbir negara yang masih lagi dalam penilaian rakyat,” katanya.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Selain ICERD, kerajaan PH turut bercadang untuk meratifikasi enam lagi konvensyen antarabangsa iaitu Perjanjian Antarabangsa untuk Hak Politik dan Sivil (ICCPR); Konvensyen PBB keatas Seksaan dan Kekejaman Lain; Layanan atau Hukuman Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah; Perjanjian untuk Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Hak keatas Semua Pekerja Asing dan Ahli Keluarga Mereka dan Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan keatas Rakyat Dari Penahanan Berkuatkuasa. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *