home Semasa Mufti Kelantan tolak segala isi kandungan ICERD

Mufti Kelantan tolak segala isi kandungan ICERD

 

KOTA BHARU – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menolak sekeras-kerasnya segala isi kandungan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk diterima pakai di negara ini.

Tegas beliau, realiti dan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak bahawa amalan di negara ini ternyata berbeza dengan negara Barat.

Malah, Mohamad Shukri menempelak sesetengah pihak yang sering menggunakan hujah realiti dan persepsi sebagai niat menghalalkan konvensyen itu untuk diratifikasi.

“Cadangan ICERD itu sendiri perlu dinilai secara tempatan kerana budaya dan pegangan hidup mereka yang mengiktiraf konvensyen itu sendiri sudah berbeza dengan amalan di negara ini.

“Sebenarnya, kalau semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada 1957 sudah cukup harmoni untuk hidup di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“60 tahun kita merdeka tiada apa yang berlaku seperti di negara Barat kecuali peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu sahaja. Malah, tiada perkara yang sama rata di dunia ini, semuanya ada perbezaan termasuklah lelaki dan perempuan, orang kaya dan miskin,” katanya ketika dihubungi Utusan di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri memberi perumpamaan, alat muzik gitar yang mempunyai enam tali itu juga mempunyai perbezaan namun menghasilkan irama yang sama.

“Adakah keenam-enam tali yang terdapat pada gitar itu semuanya sama? Tidak. Sebuah gitar itu talinya tidak sama, ada yang rhythm, base, namun, semua lagu itu dimainkan secara harmoni dan mengikut rentak yang sama.

“Bermakna, harmoninya sesebuah lagu itu bukan kerana persamaan yang terdapat pada kesemua tali gitar, tetapi kerana semuanya mengalunkan irama sama.

“Oleh itu, kita jangan tertipu dengan keadaan yang menuntut kepada kesamarataan ini kerana Perlembagaan sendiri tidak menafikan hak kaum lain di negara ini,” jelasnya. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *