home Semasa Gereja kena faham Islam termaktub dalam Perlembagaan

Gereja kena faham Islam termaktub dalam Perlembagaan

 

BANGI – Gereja di Sabah sepatutnya faham kedudukan agama Islam yang terpelihara dalam Perlembagaan Malaysia, selain menjadi agama rasmi negeri itu.

Oleh itu, tindakan Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) yang membantah kenyataan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkaitan penempatan guru agama Islam di negeri itu, adalah mencabar hak asasi umat Islam Malaysia.

Penasihat Alumni Markas Siswa-Siswi Islam Sabah (MARSIS), Dr Aliakbar Gulasan dalam satu kenyataan berkata, berita mengenai penambahan guru agama Islam di negeri itu adalah khabar gembira dan tidak sepatutnya ditakuti penganut agama lain.

“Saya hairan bagaimana Majlis Gereja Sabah boleh membuat kenyataan yang sensitif dan menyentuh hak asasi umat Islam.

“Selain daripada hak asasi umat Islam, harus difahami bahawa agama Islam termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai agama Persekutuan dan agama rasmi Negeri Sabah,” katanya.

Beliau difahamkan bahawa masih ada sekolah di Sabah yang tidak mempunyai guru agama Islam, dan langkah menambah bilangan guru itu sepatutnya disokong semua pihak.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mencadangkan agar satu forum atau apa sahaja medan perbincangan dapat diadakan, demi memperkasa pendidikan Islam di Sabah.

“MARSIS juga berharap agar tidak ada pihak yang berani menyentuh hal ehwal agama lain tanpa mendapat maklumat yang betul. Kepelbagaian agama dan keharmonian yang terdapat di negeri Sabah mesti dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.

Isu sekolah agama di Sabah menjadi hangat apabila pada 11 Disember lalu, Maszlee pada sidang Dewan Rakyat telah menasihatkan guru agama dari Kelantan dan Terengganu untuk tidak pulang ke Semenanjung, dan terus mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah dan medan menabur bakti.

Kenyataan itu kemudian menarik perhatian beberapa pihak yang membidasnya, termasuk SCC.

Dalam kenyataan tiga hari lalu, SCC dilaporkan membantah langkah itu sambil menegaskan bahawa kerajaan menggunakan sumber tenaga pengajar Islam bagi menyebar dakwah ke sekolah bukan beraliran agama danbercanggah dengan fabrik sosio-budaya di Sabah dan Sarawak. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *