home Semasa Majlis Agama Islam perlu mainkan peranan penting: Sultan Nazrin

Majlis Agama Islam perlu mainkan peranan penting: Sultan Nazrin

 

GEORGETOWN: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengingatkan Majlis Agama Islam sewajibnya berfungsi sebagai sebuah dewan pemikiran dan pentadbiran Islam di bawah pengawasan langsung Yang di-Pertuan Agong.

Baginda bertitah, kesetiaan ahli-ahli Majlis Agama Islam yang diperkenankan lantikannya juga ialah kepada takhta Yang di-Pertuan Agong dan titah baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar atau arahan mahu dilaksanakan.

“Ahli-ahli Majlis wajib melakukan perekayasaan, membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam dan demi membela martabat umat Islam.

“Peranan Majlis wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah pelantikan ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang kepada 14 penerima, dan 25 hakim dan pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang.

Sultan Nazrin seterusnya mengingatkan supaya walau apa pun senario politik yang berlaku dalam negara, selagi tindak tanduk Majlis Agama Islam tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktiraf Majlis Agama Islam sebagai institusi yang menjamin kelangsungan Islam.

“Dalam suasana umat Islam kelihatan berterusan berselisih pendirian, dan dalam senario ukhuwah sesama umat Islam terbayang semakin retak, Majlis hendaklah mengambil tanggungjawab sebagai instrumen penyatuan ummah.

“Bebas daripada sebarang agenda politik kepartian, yang dianggap berpihak dan berat sebelah, supaya peranan Majlis dilihat neutral, lantas dapat diterima tanpa prejudis,” titah baginda. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *