home Semasa Menolak kewujudan negara Islam seperti membina agama baru

Menolak kewujudan negara Islam seperti membina agama baru

 

BERMULA dengan menolak idea kewujudan negara Islam secara istilah, hingga membawa kepada penolakan Islam itu sendiri.

Menegakkan negara Islam sebelum ini menjadi suatu visi yang disepakati oleh semua aktivis atau islamis yang mengaku memperjuangkan Islam. Tiada siapa-siapa yang berselisih dalam perkara ini.

Namun apabila zaman semakin berlalu, sudah mula ada suara-suara yang mengangkat agenda sekularisme dan beriktikad bahawa negara tanpa agama adalah negara terbaik (dakwaan mereka itu lebih islamik).

Hakikatnya ini hanyalah suatu syubhat yang ingin ditimbulkan oleh golongan-golongan separuh masak yang hanya memetik beberapa nas Al-Quran dan dijadikan sebagai satu-satunya sumber utama.

Asy-Syatibi menyebut antara ciri-ciri manusia yang sesat daripada jalan yang benar adalah mereka tidak melihat syariah sebagai ‘suurah waahidah’ yakni gambaran yang sempurna, lengkap melengkapi. (Al-I’tisom) Dalil-dalilnya saling melengkapi, hukum hakamnya saling melengkapi, perlu difahami setiap perkara dalam keselarian perkara yang lain.

Contohnya isu menegakkan keadilan di dalam surah An-Nahl, perlu difahami dalam konteks menegakkan hukum Allah dalam surah Al-Maidah (3 ayat berderet menceritakan kewajipan menegakkan hukum Allah). Contoh yang lain pula apabila menceritakan mengenai kesempurnaan iman, ia terkait dalam berhukum dengan hukum Tuhan tanpa sebarang rasa gundah gulana seperti dalam surah An-Nisaa’.

Kesilapan kita pada hari ini adalah apabila merujuk Al-Quran lalu tidak jumpa apa yang kita mahu, terus kita katakan ia tidak ada dalam wahyu. Lalu apabila tidak disebut ‘daulah Islamiah’ atau Dar Islam terus disabitkan tiada padanya negara Islam.

Itulah kesilapan para literalis ‘cherry picking ayat Quran dan qaul ulamak’ yang tidak memahami tabiat syariah. Al-Quran tidak perlu mengenengahkan perkara yang terlalu teknikal kerana sifatnya adalah kitab hidayah, bukan kitab teknikal. Namun Al-Quran meletakkan beberapa nilaian utama yang perlu diambil kira, sebagai neraca utama dalam melihat satu-satu perkara hingga disebut sebagai menepati syariah.

Benarkah tiada di dalam Al-Quran ?

Tidak disebut perkataan secara spesifik tidak bermaksud tiada. Ciri-cirinya jelas dan wujud, ia disabitkan oleh para ulamak selepas itu antaranya Abdullah Qadiri Al-Ahdal dalam kitab Al-Jihad fi Sabilillah (tesis PhD beliau) yang mana beliau melakukan istiqraa’ terhadap kisah-kisah para anbiya’ dan menyenaraikan ciri-ciri negara Islam yang diterangkan dalam Al-Quran.

Dr Fathi Ad-Duraini pula menyatakan bahawa menegakkan negara Islam adalah maqasid syariah yang paling utama, kerana dengan adanya negara Islam baharulah boleh laksanakan tuntutan-tuntutan Islam secara bernegara, seperti berjihad, melaksanakan hukum Allah dan seumpamanya. (Khasais Tasyrik Islami fi As-Siyasah wa Al-Hukm)

Bila kita merenung seruan menolak agama dalam kehidupan ini, kita dapati ia akan :

1. Membentuk agama Islam yang lari daripada keislamannya yang sempurna, iaitu agama Islam yang bersifat peribadi tanpa sebarang penguatkuasaan

2. Menghilangkan kehormatan masyarakat kepada institusi ulamak dan para mufti yang bertujuan menjadi tempat rujukan manusia dalam pandangan-pandangan fiqh dan agama

3. Menghilangkan roh amar makruf nahi mungkar di kalangan para islamis kerana membawa nilai kesamarataan agama (apabila agama Islam tidak diangkat sebagai agama yang ‘berkuasa’ ke atas agama-agama lain)

4. Menghilangkan nilai tuntutan-tuntutan Al-Quran yang menyeru ke arah penginstitusian agama, termasuklah padanya syarat pelantikan ketua, hubungan antara muslim dan kafir dan seumpamanya.

5. Keterikatan seorang muslim dengan manusia lain bukan berpaksikan akidah, tetapi berpaksikan hawa nafsu yang mana hanya dilihat kepada ‘apa yang dia suka’ berbanding apa yang Allah suka dan seumpamnya, kerana neraca akidah sudah tidak sempurna, tidak meliputi segenap kehidupannya, lalu akidah hanya dijadikan dalam ruang yang sangat kecil, dan hawa nafsunya menjadi tuhannya pada ruangan-ruangan lain, yang mungkin ditampal dengan nama-nama lain seperti kemodenan, kemajuan dan seumpamanya.

Mudah cerita, inilah apa yang dikehendaki oleh para musuh Islam, agar orang Islam hilang neracanya, lalu mudah dijajah oleh mereka.

Melihat kepada mafsadah yang cukup besar ini, sangat mustahil bagi orang yang suka berbicara mengenai maqasid syariah melontarkan pandangan ini.

Sama ada dia benar-benar jahil, atau dia benar-benar dajjal.

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *