home Semasa Islam berkembang di Amerika Latin

Islam berkembang di Amerika Latin

 

KETIKA media Barat sering mengaitkan Islam dan penganutnya dengan keganasan sehingga mencetuskan perdebatan, ketakutan bahkan kebencian masyarakat setempat terutama di Eropah, namun dunia seolah-olah tidak menyedari kewujudan serta penyebaran syiar Islam di rantau Amerika Latin pada abad ke-21 ini.

Walaupun secara tradisinya rantau ini dikenali dengan masyarakat beragama Roman Katolik yang kuat, namun ia juga sering menjadi tuan rumah kepada sebilangan masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang budaya dan amalan sejak berabad lalu.

Hubungan dunia Islam dengan rantau Amerika Latin dikatakan wujud sejak bermulanya zaman penjajahan dan penerokaan ‘Dunia Baharu’ oleh kerajaan Sepanyol di benua Amerika pada abad ke-16. Ketika itu Sepanyol dan Portugal baru sahaja mempunyai sejarah berada bawah pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniah.

Oleh itu, ahli sejarawan Islam berpendapat bahawa wujudnya kebarangkalian sebilangan rakyat Sepanyol yang turut sama menyertai pengembaraan tersebut bersama Columbus, sama ada dalam kalangan pelayar, penterjemah mahupun hamba abdi dari Afrika, adalah beragama Islam.

Malah, pakar sejarah Islam, Dr. Youssef Mroueh mengatakan kebarangkalian Islam telah pun datang jauh lebih awal sebelum ketibaan Columbus, iaitu pada abad ke-12 berdasarkan bukti kewujudan masjid di kepulauan itu.

Kedatangan pendatang Islam ke rantau ini semakin rancak melalui beberapa gelombang migrasi kaum Arab pada 1920 dan 1960 iaitu selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Walaupun sebahagian besar daripada mereka beragama Kristian, terdapat juga segelintir orang Arab beragama Islam turut berada dalam kelompok tersebut.

Mereka digelar sebagai ‘Los Turcos’ dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘rakyat Turki’ kerana datang ke negara Amerika Latin menggunakan passport Turki yang dikeluarkan oleh empayar Uthmaniah.

Jumlah terkini penduduk Islam di rantau Amerika Latin dianggarkan mencecah kira-kira lima juta orang daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk di Amerika Latin yang berjumlah kira-kira 620 juta penduduk.

Walaupun populasi Islam di kebanyakan negara Amerika Latin masih kurang daripada satu peratus, terdapat beberapa negara di rantau ini yang sudah melebihi paras tersebut iaitu dengan jumlah satu hingga 1.5 juta di Brazil sekali gus mencatatkan rekod paling tinggi di rantau ini diikuti Argentina iaitu antara 600,000 hingga 700,000 penduduk beragama Islam.

SIAPAKAH MEREKA?

Umat Islam di rantau ini dapat dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu:

1- Pendatang

* Kebanyakannya dari Lebanon, Syria dan Palestin.

* Majoriti mereka adalah usahawan berjaya dan memiliki kedai perniagaan sendiri selepas berhijrah.

* Selain monopoli perniagaan, sebilangan mereka cukup dikenali dalam dunia politik seperti Carlos Saúl Menem Akil (bekas Presiden Argentina) dan Tareck Zaidan El Aissami Maddah (bekas Timbalan Presiden Venezuela ke-28).

* Walaupun ramai daripada mereka diasimilasikan dalam cara hidup Katolik, ada juga masih setia mengamalkan ajaran Islam. Golongan ini masih menjalani cara hidup Islam sambil menghormati dan mengintegrasikan diri dengan budaya tuan rumah.

2- Saudara baharu (mualaf)

* Ekoran perkahwinan campur dan pemelukan Islam oleh saudara baru Latin yang semakin meningkat, Islam menjadi antara agama paling pesat berkembang di Amerika Latin.

* Terdapat bukti menunjukkan bahawa para pendakwah Islam yang berpusat di Sepanyol dan persatuan komuniti Islam serantau telah menembusi masyarakat pribumi di kawasan perkampungan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat mereka.

* Dakwah dan kelas terbuka pengajian Islam, al-Quran dan bahasa Arab turut diadakan di masjid-masjid tempatan.

PENGARUH ISLAM

Walaupun kemunculan Islam baru sahaja dirasai oleh masyarakat Latin melalui percambahan pembinaan masjid-masjid di ibu kota dan kawasan luar bandar, bekalan makanan dan sijil halal semakin meluas, restoran Arab serta wanita berhijab di kota raya, pengaruh Islam sebenarnya telah wujud dalam kehidupan seharian mereka sejak dahulu lagi tanpa disedari.

Umat Islam mempunyai pengaruh besar terhadap budaya dan politik masyarakat Latin melalui peninggalan tamadun Islam di Sepanyol.

Oleh itu, kita dapat melihat pengaruh tersebut terhadap masyarakat Latin dengan ribuan pinjaman perkataan daripada bahasa Arab dalam bahasa Sepanyol seperti ‘ojalá’ yang bermaksud jika dikehendaki ‘Allah’; ‘arroz’ iaitu beras, ‘Azúcar’ iaitu gula dan ‘Azul’ iaitu warna biru.

Selain kosa kata, pengaruh Islam melalui bahasa Arab juga dapat dilihat dengan jelas pada nama-nama tempat. Sebagai contoh ‘Guadalajara’ di Mexico.

Orang Sepanyol juga membawa unsur estetik yang mempunyai sisa-sisa pengaruh Islam ke dunia Latin daripada sudut corak, warna dan seni bina terutama di gereja diinspirasikan daripada istana Alhambra yang suatu ketika dahulu cukup hebat serta terkenal di Granada, Sepanyol.

Sebagai contoh, gereja Katolik di Lima, Peru mempunyai bumbung berbentuk kubah yang menyerupai seni bina Islam bagi sebuah masjid.

PENGARUH KE IDENTITI

Pendatang dari Lebanon yang menetap di Mexico telah membawa makanan tradisi mereka bersama. Mereka memperkenalkan ‘shawarma’, namun kerana rakyat Mexico pada waktu itu tidak gemar makan daging lembu, maka terhasilnya satu gabungan resepi Arab dengan cita rasa rakyat Mexico dinamakan ‘Tacos Arabes’.

Ia kini menjadi satu daripada makanan yang sinonim dengan identiti masyarakat dan negara Mexico. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *