home Semasa Pengambilan vaksin tepati Maqasid Syariah: Mufti Wilayah

Pengambilan vaksin tepati Maqasid Syariah: Mufti Wilayah

 

BANGI – Berdosa jika ibu bapa mengabaikan kewajiban mengambil vaksin apabila anak-anak dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Malah katanya, ibu bapa atau penjaga akan menanggung dosa lainnya jika penyakit yang disebabkan kecuaian itu membawa kemudaratan kepada orang sekeliling.

Menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-166 yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini, Dr Zulkifli berkata, isu penolakan vaksin dalam kalangan ibu bapa sejak kebelakangan ini amat membimbangkan kerana secara tidak langsung menyebabkan jumlah kes beberapa penyakit cegahan vaksin di Malaysia semakin meningkat.

“Pengambil vaksin termasuk salah satu daripada rawatan pencegahan yang disebut ‘mencegah itu lebih baik daripada merawat’.

“Pengambilan vaksin memenuhi Maqasid Syariah. Ini kerana, dalam Islam, hifz al-nafs (penjagaan nyawa) termasuk dalam perkara yang dituntut. Dari sudut pengambilan vaksin telah terbukti boleh mencegah tubuh badan dari pelbagai penyakit yang telah diterima secara umum oleh pakar-pakar,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab dan kewajiban bagi rakyat Malaysia dan umat Islam untuk memastikan persekitaran bebas daripada penyakit berjangkit.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) mewajibkan pengambilan vaksin bagi kanak-kanak pada peringkat kerajaan Persekutuan.

“Warga dewasa juga disarankan untuk mengambil vaksin-vaksin alternatif seperti kata Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC), Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, vaksinasi memberi perlindungan daripada penyakit yang menyerang sistem imun manusia yang lemah.

“Individu yang berusia lebih 50 tahun dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza, pertusis, pneumokokal dan kayap. Begitu juga dengan orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit paru-paru, kencing manis, penyakit jantung dan penyakit hati kronik, mereka perlu lebih proaktif dalam mengurangkan risiko jangkitan.

“Vaksin influenza, pneumokokal, hepatitis A dan hepatitis B adalah penting untuk golongan ini. Rujuk Orang Dewasa Disaran Ambil Vaksin Sebelum Terlambat,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Zulkifli berkata, Jadual Imunisasi Kebangsaan perlulah sentiasa disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan, kandungan bahannya dan kesannya kepada kemampuan ekonomi negara.

“Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang jelas kepada pembaca berkenaan hukum vaksin daripada sudut pandang Islam. Atas rasa syukur dengan nikmat kesihatan dan ilmu yang Allah ﷻ berikan,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *