home Semasa Ketahui aliran bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ketahui aliran bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah

 

KAJANG: Kesatuan ummah di atas landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini perlu dipelihara supaya umat Islam tidak tergelincir daripada pegangan akidah yang benar.

Ini kerana umat Islam sentiasa dicabar dengan kewujudan aliran akidah yang terkeluar daripada ASWJ seperti Khawarij dan Syiah.

Oleh itu, umat Islam perlu mengetahui aliran yang terkeluar daripada ASWJ supaya
tidak terpengaruh dengan dakyah termasuk yang datang dalam bentuk moden atau berselindung di sebalik label lain.

Apatah lagi, aliran sebegitu menampilkan imej yang berlainan dengan pegangan mereka yang bercanggah dengan akidah yang benar seperti kuat beribadat.

Pendakwah dan penceramah terkenal Indonesia, Abdul Somad, berkata pegangan akidah berdasarkan ASWJ sebenarnya sudahpun bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Abdul Somad berkata, walaupun Rasulullah SAW tidak menyebutnya secara jelas, ia dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW: Aku berpesan kepada kamu supaya taat kepada Allah SWT walaupun orang yang menjadi pemimpin kamu ialah hamba.” (HR Abu Daud)

Wujud perselisihan

Rasulullah SAW juga bersabda “Sesiapa sahaja yang hidup sesudah aku wafat, maka dia akan menyaksikan banyak kekhilafan dan percanggahan dalam urusan. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunahku.” (HR Abu Daud dan Tirmizi)

“Memang wujud perselisihan pendapat mengenai seseorang hamba tidak boleh menjadi imam, tetapi makna di sebalik sabda Baginda itu adalah ia wajib dipatuhi

“Orang berpegang pada sunnah Nabi Muhammad SAW ialah ahli sunah, manakala mereka yang berpegang pada sunah Baginda, pasti akan berjemaah, sekali gus di sinilah ia dikenali sebagai ASWJ,” katanya pada Bicara Murabbi bertajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Rasulullah SAW di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini.

Abdul Somad berkongsi kisah yang membuktikan sunah akan memberikan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan untuk mencari kata sepakat.

Katanya, terdapat dua sahabat RA yang bermusafir, tetapi singgah di tempat yang ketiadaan air hingga mereka bertayamum untuk menunaikan solat.

“Mereka berdua solat berjemaah sebelum meneruskan kembali perjalanan. Dalam perjalanan seterusnya mereka menjumpai sumber air, maka wujud perselisihan pendapat antara kedua-dua sahabat itu.

“Sahabat pertama mengambil wuduk dan mengulangi solat memandangkan sudah ada sumber air, manakala individu kedua tidak mengulangi solatnya. Di sini, mereka kembali kepada sunah untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Abdul Somad berkata, sunah juga menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar ketika mengalami perselisihan pendapat mengenai keberadaan makam
Rasulullah SAW selepas kemangkatan Baginda.

Ahli bidaah

Beliau berkata, golongan yang tidak berpegang kepada ASWJ tergolong sebagai ahli bidaah seperti kelompok Khawarij yang berlaku selepas kewafatan Saidina Uthman Affan RA dan zaman Saidina Ali Abu Talib KWA.

“Terdapat satu golongan yang menguar-uarkan tiga manusia halal darahnya dan boleh dibunuh, iaitu Saidina Ali RA, Saidina Muawiyah RA dan Saidina Amr al-As.

“Kelompok ini menghantar tiga individu untuk membunuh ketiga-tiga sahabat Nabi SAW itu yang salah seorangnya ialah Abdurrahman ibnu Muljam.

Terkeluar daripada ASWJ

“Beliau ditangkap hingga dijatuhkan hukuman tangan dan kaki dipotong, tetapi berkata: ‘Walaupun kau potong kaki dan tanganku, aku tetap bertahan. Namun jangan potong lidahku kerana aku tidak dapat berzikir kepada Allah SWT’,” katanya.

Abdul Somad menegaskan Abdurrahman dan puaknya sering membaca al-Quran dan berzikir, tetapi mereka dianggap terkeluar daripada ASWJ kerana menghalalkan darah orang beriman.

“Khawarij percaya Ali, Muawiyah dan Amr al-As perlu dibunuh kerana didakwa sebagai punca kepada segala permasalahan umat,” katanya.

Beliau berkata, ahli bidaah lain ialah kelompok Syiah yang terkeluar daripada ASWJ, malah lebih berbahaya berbanding Khawarij.

“Ini kerana jika Khawarij hanya menghalalkan tiga darah sahaja, iaitu Ali, Muawiyah dan Amr al-As, Syiah pula mengkafirkan semua sahabat termasuk Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar al-Khattab RA dan Saidina Uthman RA.

“Syiah percaya tiga sahabat Nabi SAW itu merampas hak Ali yang pada pandangan mereka sepatutnya menggantikan Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *