home Semasa Majikan sogok pekerja supaya ponteng solat Jumaat: Mufti Melaka

Majikan sogok pekerja supaya ponteng solat Jumaat: Mufti Melaka

 

ALOR GAJAH: Nilai solat Jumaat bagi sebilangan pekerja sektor perkilangan di Melaka diibaratkan hanya RM8 dan sebungkus ayam goreng apabila sanggup ‘disogok’ majikan menerima habuan berkenaan untuk ponteng menunaikan ibadat itu.

Bagi majikan pula, mereka menyogok pekerja dengan habuan itu berikutan kegagalan sesetengah pekerja memanfaatkan peluang dua jam yang diberikan majikan kepada mereka menunaikan solat itu.

Mendedahkan lanjut perkara itu, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata, Jabatan Mufti menerima pelbagai aduan daripada orang awam, khususnya pekerja kilang bahawa ada antara mereka tidak dibenarkan majikan menunaikan solat Jumaat.

Bertindak daripada maklumat itu, beliau berkata, pihaknya sudah memanggil pengurusan kilang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara terbabit.

“Majikan menjelaskan, mereka pada mulanya memberikan kebenaran kepada pekerja untuk menunaikan solat Jumaat tetapi ada tiga ‘mazhab’ (kumpulan) yang muncul setiap kali Jumaat.

“Mazhab pertama makan dan minum di kantin tanpa pergi ke masjid dan mazhab kedua pergi membeli-belah, atau (mazhab ketiga) ke bengkel motosikal, kereta dan hanya masuk kilang pada 2.45 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghuraikan aspek ‘Peranan Ibu Bapa dan Masjid Membentuk Insan Ulul Albab’, pada Forum Bicara ad-Deen Peringkat Daerah Alor Gajah di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, Melaka, pada Rabu.

Hadir sama pada forum itu penceramah bebas yang juga ahli panel, Datuk Kazim Elias.

Abdul Halim menegaskan, majikan memberi alasan terpaksa berbuat demikian kerana kebanyakan mereka mensia-siakan peluang dua jam yang diberikan sebelum itu.

Beliau berkata, ada juga majikan menawarkan sebungkus ayam goreng dilengkapi kentang putar kepada pekerja yang memilih untuk bekerja pada waktu solat Jumaat.

Justeru, beliau meminta ibu bapa memberikan didikan agama terbaik kepada anak, malah mereka juga harus menunjukkan contoh terbaik dari segi akidah, akhlak dan ibadat untuk membentuk anak yang bukan setakat memahami agama, malah sanggup berkorban demi Islam.

“Maruah kita cuma RM8. Sepatutnya semua pekerja Islam dengan bangga menyatakan bahawa kami tidak pandang RM8, sebaliknya hanya memandang ganjaran Allah kerana menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Program itu dihadiri kira-kira 2,000 orang, iaitu pelajar SM Imtiaz dan penduduk kampung sekitar pekan Masjid Tanah. – Harian Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *