home Semasa PBB digesa isytihar 15 Mac Hari Perangi Islamophobia Sedunia

PBB digesa isytihar 15 Mac Hari Perangi Islamophobia Sedunia

 

RABAT – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Perangi Islamophobia Sedunia.

Tarikh itu dipilih sebagai menghormati mangsa tragedi serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 individu, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah ISESCO, Abdulaziz Al-Tuwaijri memberi amaran, walaupun usaha besar dilakukan sejak tiga dekad terakhir dalam dialog antara budaya dan masyarakat, ekstremisme terus berkembang, dan kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia meningkat.

Beliau menggesa semua kerajaan dan pertubuhan memperhebatkan usaha untuk menghadapi fenomena berbahaya itu, yang mengancam kedamaian dan keamanan dunia.

“Islamophobia telah menjadi fenomena global yang mempunyai kesan terhadap hak, keselamatan, dan keamanan umat Islam di negara-negara di luar dunia Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan dan pertubuhan serantau serta antarabangsa diharap dapat meningkatkan usaha mereka untuk melawan fenomena Islamophobia yang serius itu, yang membahayakan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

“Fenomena Islamophobia benar-benar bertentangan dengan prinsip Piagam PBB; Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan deklarasi, perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang relevan, terutama Perkara 20 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR),” katanya.

Oleh itu, Al-Tuwaijri berkata, usaha perlu dipergiat untuk melawan Islamophobia dan mempromosikan budaya dialog, pemahaman, keharmonian, kewujudan bersama dan perdamaian di kalangan penganut pelbagai agama dan budaya yang berbeza.

Beliau turut menegaskan Resolusi Menentang Penolakan Agama, yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 11 April 2011, adalah kemuncak usaha yang dilakukan oleh kumpulan Arab dan Islam di kalangan agensi PBB, termasuk Majlis Hak Asasi Manusia dan Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Kemanusiaan.

Beliau turut menyeru komuniti antarabangsa untuk menentang habis-habisan fenomena Islamophobia kerana ia bukan sahaja menyasarkan muslim dan Islam, tetapi nilai kemanusiaan yang sepatutnya dihormati.

Dalam kejadian tergempar Jumaat lalu, umat Islam yang mahu mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, di Christchurch, New Zealand ditembak secara rambang oleh pengganas berkulit putih, Brenton Tarrant, mengorbankan 50 individu dan mencederakan puluhan yang lain. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *