home Semasa Trend ‘Islam apologetik’ boleh menuju kepada bid’ah dalam akidah

Trend ‘Islam apologetik’ boleh menuju kepada bid’ah dalam akidah

 

ITU dapatan awal saya sejak hampir setahun PH memerintah. Naratif Islam yang terlalu apologetik, meletakkan kesalahan (hampir sepenuhnya) kepada orang Islam dan bangsa Melayu, melihat agama lain dengan pandangan ‘rahmah terlampau’ dan melihat saudara seislam dengan pandangan ‘ekstremis, rasis, dan pelampau’ dan seumpamanya.

Saya ukur perkara ini berdasarkan ‘statement’ dan respon para menteri daripada Parti Amanah Negara (dan juga pegawai khasnya) dalam menangani isu-isu melibatkan agama Islam dan kepentingan umat Islam.

Non-muslim tidak pernah dinafikan haknya di Malaysia. Kalau mereka katakan tertindas pun itu hanyalah tafsiran ‘tertindas’ di sisi mereka, hakikatnya ia bukanlah definisi ‘tertindas’ yang sebenarnya (definisi zalim dan adil yang diakui Islam). Segala salah-lapor (kepada pihak luar negara dan organisasi hak asasi manusia antarabangsa) yang disebut oleh Menteri Perpaduan sebelum ini mengenai paksaan memeluk Islam, pembunuhan orang Hindu, pencabulan kuil dan seumpamanya, hanyalah fitnah dan penipuan bagi menjemput ‘campur tangan’ pihak luar terhadap kerajaan sebelum ini.

Dalam mengenengahkan definisi-definisi yang ‘vague’ dan ‘loose’, penjelasan perlu dilakukan selari dengan penguatkuasaan agar sesiapa yang tidak mampu memahami apa yang diajarkan Islam, paling kurang dia mampu menghormati prinsip-prinsip yang ditetapkan Islam dan tidak berani untuk melanggar pagar undang-undang yang telah pun terbina dalam sesebuah negara umat Islam.

Hari ini saya boleh katakan, trend Islam ala PH ini sedang menghilangkan pagar-pagar ini, mengharapkan agar non-muslim itu memahami dengan hati yang murni, mesej Islam yang indah bak mentari ini. Trend ini akan membawa kepada mesej ‘universal values’ iaitu ‘nilai yang dipegang semua orang dan semua agama’ sebagai paksi perpaduan, menghilangkan tamayyuz antara muslim dan non-muslim, serta melenyapkan roh syarak yang wujud dalam tuntutan amar makruf nahi mungkar.

Sekarang ini (dalam trend ini) yang mungkar adalah rasisme, mengkritik agama lain, mempertahankan kaum sendiri (walau atas dasar kebaikan sekalipun), bahkan berhimpun mempertahankan Nabi SAW pun mahu disamannya (???), menyebut istilah kafir, dan seumpamanya, walhal segala istilah-istilah kemungkaran itu bukanlah istilah yang termaktub dalam ilmu Islam, ia hanyalah istilah-istilah yang diciplak daripada kamus hidup Barat yang mengolah slogan-slogan tertentu bagi menjayakan agenda jahat mereka.

Trend ini akan menghilangkan makna jihad, keizzahan Islam, mendaulatkan syariah, dan seumpamanya, serta ia akan digantikan dengan ‘dialog harmoni’, kesamarataan agama, ‘tiada paksaan dalam agama’ dan yang sewaktu dengannya.

Mereka ini sama ada tidak nampak gagasan kekufuran yang sedang mengatur dan mencatur peperangan dalam melawan dan menguasai umat Islam, atau pun nampak perkara ini cumanya ia hanya dilihat sebelah mata kerana menjaga kerusi politik mereka yang didokong oleh pengundi non-muslim mereka.

Adakah mereka tidak sedar segala polisi dan naratif yang dibawa hanyalah merugikan agenda umat Islam?? Bahkan sebahagiannya membiadabkan orang bukan Islam ??

Jika mereka adalah golongan yang pertama, maka mereka adalah golongan yang naif, buta sejarah, dan tidak layak memimpin umat Islam. Jika mereka adalah golongan kedua, maka mereka ini boleh dikategorikan sebagai munafiq, mereka menjual akhirat mereka untuk membeli dunia, yang lebih teruk pula kalau dunia itu bukan untuknya, tapi untuk orang lain pula.

“Mereka adalah golongan yang membeli kesesatan dengan membayar hidayah. Sekali-kali perniagaan mereka tidak akan untung, dan mereka pula tidak mendapat petunjuk” – Surah Al-Baqarah

Sekiranya para asatizah dan ulamak dalam PH tidak menyedari hal ini, dan tidak pula mengkoreksi perkara ini, maka dosa-dosa bid’ah lebih-lebih lagi melibatkan isu akidah yang berlaku dan bakal berlaku masa akan datang akan dipikul oleh mereka, selaku pencetus sunnah sayyi’ah dalam naratif Islam dan khitab dakwahnya, dari skop akidah hingga ke skop kenegaraan.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *