home Semasa Had tunai haji sekali beri peluang lebih ramai naik haji: Mufti Perak

Had tunai haji sekali beri peluang lebih ramai naik haji: Mufti Perak

 

IPOH: Tindakan Tabung Haji (TH) mengehadkan pendepositnya menunaikan haji sekali saja mampu memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam dari negara ini menunaikan rukun Islam kelima itu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata sudah sewajarnya TH mengenakan sekatan terhadap pendepositnya yang sudah menunaikan haji daripada mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua bagi memendekkan giliran menunggu mereka yang mahu berbuat demikian.

“Betullah tindakan itu, tiada masalah kerana ia dapat memberi peluang kepada orang lain dan bukannya orang yang sama saja dapat peluang mengerjakan haji.

“Jika tidak, hanya orang yang kaya saja dapat menunaikan haji, sedangkan mereka yang tidak kaya terpaksa menunggu tempoh lama untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan muka depan BH Ahad hari ini mengenai keputusan TH menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji tidak lagi dibenar mendaftar semula dengan institusi pengurusan dana haji itu untuk mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, dilaporkan berkata amalan selama ini ialah pendeposit yang sudah menunaikan haji, boleh mendaftar semula selepas lima tahun untuk senarai menunggu.

Justeru, beliau dipetik sebagai berkata, bermula tahun ini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian bagi memberi peluang kepada orang lain pula.

Beliau dilaporkan berkata, sehingga kini seramai 3.2 juta orang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji, dan jika ada orang Islam mendaftar hari ini, individu itu perlu menunggu selama 114 tahun untuk mendapat giliran menunaikan haji.

Harussani berkata, kuota menunaikan haji yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia tidak banyak sedangkan mereka yang berada dalam senarai menunggu giliran terlalu ramai, jadi sudah sewajarnya dilakukan sekatan terhadap mereka yang sudah melaksanakan ibadat berkenaan.

Beliau berkata, mereka yang berkemampuan bagaimanapun masih boleh menunaikan haji untuk kali kedua menggunakan pakej pihak swasta, dan bukannya menerusi pakej muassasah disediakan TH.

Katanya, pakej muassasah yang disediakan TH memang sewajarnya diberikan hanya untuk umat Islam yang mahu menunaikan haji untuk kali pertama dalam hidupnya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *